PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas menafikan dirinya bukan 'Robin Hood' seperti yang dakwaan ramai susulan pengenalan rasionalisasi subsidi dibuat baru-baru ini.
Didakwa cuba 'mencuri' daripada golongan kaya untuk disalurkan kepada kumpulan miskin, beliau menjelaskan dasar dilaksanakan itu bertujuan memastikan pengagihan subsidi misalnya dilakukan dengan lebih adil, mengambil kira pendapatan individu.
BACA LAGI: Kes libat UPNM: Kerajaan tak kompromi budaya samseng, buli — PM Anwar
"Jika kita mahu menyara mereka yang miskin, kita mesti mempunyai sumber yang mencukupi. Kita mewarisi hutang sebanyak RM1.5 trilion, dan kita tidak mahu mengenakan cukai kepada orang ramai. Kita hanya mengenakan cukai sedikit kepada golongan yang sangat kaya.
"Saya bukan 'Robin Hood', saya hanya menarik balik subsidi," katanya semasa sesi dialog di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tambahnya, Malaysia merupakan antara negara yang memberikan subsidi tertinggi dan mempunyai sistem cukai yang paling rendah di dunia.
"Bayangkan, ada antara orang terkaya di negara ini yang di bawah dasar sebelum ini, menerima subsidi elektrik daripada kerajaan.
"Kerajaan hanya mahu mereka membayar harga kos yang saya percaya adil. Jika ada pihak tertentu mahu mempolitikkan perkara itu sebagai tidak adil atau tidak munasabah, ia adalah kerana perkara itu melibatkan perniagaan mereka," tambahnya.
Berbincang mengenai hubungan antarabangsa, Anwar menekankan kepentingan mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak demi kepentingan negara.
“Rakan-rakan saya menasihati saya supaya tidak terlalu keras mengkritik pendudukan Palestin, kerana ia boleh menjejaskan pelaburan dari Amerika Syarikat.
"Tetapi saya mengekalkan hubungan saya dengan mereka. Apabila saya bertemu dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Vientiane, Laos baru-baru ini, kami bercakap mengenai pelaburan, Gaza dan Lubnan," katanya.
Anwar juga mendedahkan terdapat cadangan daripada rakan sejawatannya untuk memutuskan hubungan dengan Rusia, China, dan Amerika Syarikat.
"Saya memberitahu mereka bahawa itu masalah mereka jika mereka mempunyai konflik antara satu sama lain, tetapi tidak melibatkan kita. Kita adalah negara yang berdaulat dan merdeka jadi setiap keputusan dibuat adalah untuk kebaikan negara dan rakyat," tambahnya. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram