Cuma perlu minta kebenaran pengawal sekolah, lawati tugu peringatan di SMK Kampar, lokasi sejarah Perang Dunia Kedua


  • 112
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Shaharom (kanan) dan Nor Hisham memberi penghormatan kepada mereka yang gugur di batu peringatan di SMK Kampar.

PELBAGAI cara dilakukan rakyat Malaysia dalam memperingati mereka yang terkorban semasa serangan Jepun ke Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua.

Tidak terkecuali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar yang terletak di Kampar, Perak, yang mengambil inisiatif meletakkan sebuah batu peringatan bagi mengenang mangsa konflik global tersebut.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata, tugu peringatan yang diletakkan di tapak khas itu adalah kerjasama antara sekolah dan Persatuan Warisan Perak.

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

Menurutnya, tugu peringatan itu didedikasikan pada 31 Disember 2022, sempena ulang tahun Pertempuran Kampar yang berlangsung dari 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942.

"Sekolah ini dipilih kerana ia merupakan salah satu lokasi yang terjejas ketika perang," katanya.

Ujar Shaharom, Kampar menyimpan begitu banyak sejarah dan mereka yang berminat boleh melawat tapak tersebut.

Tambahnya, pengunjung hanya perlu mendapatkan kebenaran daripada pengawal sekolah.

Pada Oktober tahun lalu, MHG telah memindahkan papan tanda maklumat Battle of Kampar di Green Ridge berhampiran Jalan Ipoh-Kampar ke sekolah berkenaan.

Papan tanda itu mengandungi peta dan maklumat lain yang berkaitan dengan Pertempuran Kampar.

Pertempuran melibatkan kira-kira 1,500 tentera British termasuk askar India, Sikh dan Gurkha bertempur dengan berani menentang 4,000 askar Jepun.

Green Ridge ialah tapak pengebuminan bagi 150 askar British dan 500 askar Jepun yang terbunuh.

Mengulas lanjut, Shaharom berkata, MHG telah memasang papan tanda maklumat di tujuh lokasi Perang Dunia Kedua di Perak.

Ujarnya, lokasi tersebut termasuk Jambatan Iskandar di Kuala Kangsar, Jambatan Kuala Dipang di Kampar, Trolak dan juga Slim River.

“Berdasarkan WWII (World War 2) Trail, terdapat 16 lokasi. Kami mempunyai rancangan untuk memasang lebih banyak papan tanda bergantung pada masa dan bajet," tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee yang juga seorang guru di SMK Kampar berkata, tapak bersejarah itu adalah sebahagian daripada pembelajaran luar bilik darjahnya.

“Kini, selain tapak ini, kita juga mempunyai maklumat dan batu peringatan.

"Kami berharap dapat menyemai minat pelajar tentang sejarah kita," katanya. — The Star/IVAN LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram