Tiga hari bertarung dengan cuaca, Muhammad Ruzaini kongsi kisah keluarkan mayat dari Gunung Tahan


  • 112
  • Isnin, 21 Okt 2024

Muhammad Ruzaini (cermin mata hitam) mengakui bertugas di Unit Udara JBPM ternyata berbeza dari tugas biasa di balai bomba yang lazim dilihat masyarakat.

SETIAP kali deruan enjin helikopter memecah langit, ada jiwa yang bersedia mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan orang lain. Di sebalik setiap panggilan kecemasan, tersembunyi kisah keberanian yang jarang kita dengar.

Seorang Pegawai Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Ruzaini Osman Ariff, adalah antara mereka yang sanggup meletakkan diri di barisan hadapan.

BACA LAGI : 'Hanya terbayang wajah keluarga tersayang', Hasli trauma imbau tragedi helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

Dalam dunia kerjaya di mana nyawa sering dipertaruhkan, lelaki berusia 37 tahun itu belajar pakaian seragam atau pangkat yang membuat seseorang itu hero, tetapi keberanian untuk menghulurkan tangan ketika orang lain tidak mampu berbuat apa-apa.

Muhammad Ruzaini, yang kini bertugas sebagai salah seorang kru udara di Pangkalan Wilayah Tengah Subang dekat Subang, Selangor mengakui bahawa laluan hidupnya berubah drastik apabila berpeluang mengikuti kursus pemilihan 'Kru Master Udara' pada tahun 2014.

Dengan ujian yang berlangsung selama tiga tahun, pada 2017, Faizal akhirnya melangkah ke dunia yang belum pernah dibayangkannya iaitu dunia penyelamatan udara.

“Sebenarnya, dari kecil tak ada minat sangat untuk jadi bomba. Tapi rezeki itu datang lepas belajar, dan bila dapat peluang, minat pun datang kemudian," katanya kepada Majoriti.

bomba 1

Muhammad Ruzaini

Jelas Muhammad Ruzaini, bertugas di Unit Udara ternyata berbeza dari tugas biasa di balai bomba yang lazim dilihat masyarakat.

Katanya, ramai orang ingat tugas bomba ini cuma memadamkan kebakaran atau menangkap binatang berbisa. Tetapi bila masuk Unit Udara, skop kerja berubah. Tanggungjawab dan skil yang diperlukan juga jauh lebih berat.

Ditanya sama ada beliau pernah berdepan dengan situasi mistik ketika bertugas, Muhammad Ruzaini hanya tersenyum dan menjelaskan setiap operasi dan kejadian yang berlaku mempunyai kisahnya yang tersendiri.

"Alhamdulillah, sepanjang beberapa tahun saya bertugas, tidak pernah ada kejadian mistik yang berlaku. Apa yang boleh saya ceritakan setiap tugasan ada cabarannya yang tersendiri.

"Cumanya bila berada di lapangan kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kerana kita berdepan dengan nyawa dan tanggungjawab kita besar terutamanya ketika misi menyelamat," ujarnya.

bomba 3

Dengan pengalaman lebih dari satu dekad dalam dunia penyelamatan udara, Muhammad Ruzaini merupakan salah seorang anggota yang telah menempa namanya yang tersendiri dalam kalangan rakan setugasnya.

Antara pengalaman yang paling menyentuh jiwa Muhammad Ruzaini ialah ketika terlibat dalam operasi menyelamat mangsa lemas di kawasan air terjun Sungai Berkelah dekat Gambang, Pahang pada 2021.

"Pada ketika itu, seorang pendaki lemas selepas mengalami kekejangan otot ketika mandi di sungai. Saya dan pasukannya terpaksa menghadapi cabaran besar untuk membawa keluar mayat di kawasan yang sukar dilalui.

“Angin kuat, cuaca buruk, tapi kami berjaya membawa naik mayat dan kawan mangsa yang masih hidup. Itu pengalaman pertama saya dalam operasi yang melibatkan kematian.

"Bila tengok kawan dia tu sedih, saya pun rasa terkesan. Saya hanya mampu cakap, 'sabar,'" ujarnya dengan nada sayu.

Tidak lama selepas itu, pada awal 2023, Muhammad Ruzaini sekali lagi diuji apabila terlibat dalam operasi di Gunung Tahan, Pahang.

Ceritanya, mangsa seorang wanita berusia 51 tahun meninggal dunia di puncak gunung, dan helikopter mereka menghadapi masalah mendarat ekoran daripada cuaca yang tidak menentu.

“Hari pertama dan kedua cuaca memang tak mengizinkan, tapi kami tak putus asa. Pada hari ketiga, dengan izin ALLAH, cuaca bertambah baik dan kami berjaya angkat mayat tersebut.

"Sejujurnya, kedua-dua operasi ini sememangnya tidak akan dapat saya lupakan," katanya mengingati detik mencemaskan itu.

ruzaini

Muhammad Ruzaini (tengah) bersama rakan setugasnya.

Menutup bicara, Muhammad Ruzaini tidak lupa untuk berkongsi nasihat kepada mereka yang berminat untuk menyertai Unit Udara JBPM.

"Ramai berminat sebab ada imbuhan dan elaun, tapi tak ramai yang tahu cabaran besar yang bakal dihadapi. Jadi, mereka perlu betul-betul study (belajar) apa yang diperlukan dan bersedia mental serta fizikal," katanya.

Dengan pengalaman lebih dari satu dekad dalam dunia penyelamatan udara, Muhammad Ruzaini merupakan salah seorang anggota yang telah menempa namanya yang tersendiri dalam kalangan rakan setugasnya.

Dalam diam, dia menyedari betapa pentingnya peranannya, bukan hanya sebagai penyelamat, tetapi juga sebagai inspirasi kepada generasi muda yang ingin mengikuti jejak langkahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram