Magis Aidil Sharin kembalikan era Ngap Sayot buat Kuching City FC


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 29 Okt 2024

Sentuhan Aidil Sharin membawa perubahan ketara buat skuad The Cats di pentas domestik. — Facebook/Kuching City FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

LEBIH sedikit daripada lima bulan lalu, Aidil Sharin Sahak menawarkan ingatan bahawa Kuching City FC (KCFC) kendaliannya bukan pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Sebaliknya, hari ini pasukan-pasukan yang disebutkannya itu tidak mampu mengalihkan tumpuan daripada skuad The Cats – mereka hanya tewas tipis 1-2 kepada juara liga 10 musim berturut-turut itu selain turut cemerlang mengalahkan Selangor FC 2-1 (Piala FA) di samping seri dengan Terengganu FC dan KDA FC, kedua-duanya 1-1.

Pada 19 Mei lalu, ketika Liga Super musim 2024/2025 ini baru menghabiskan dua perlawanan dan KCFC – menamatkan musim 2023 di tangga kedua tercorot – baru meniti di bibir peminat hasil dua keputusan seri, 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KLCFC) di laman lawan dan 2-2 dengan Sri Pahang FC di Stadium Negeri Sarawak.

BACA LAGI: Anak-anak buah Aidil Sharin bersedia bertarung lawan pasukan 'sempurna' seperti JDT

BACA LAGI: Aidil Sharin kekal ‘cool’ dengan peningkatan The Cats

464683994_18285186766233453_400029192006391629_n

Skuad The Cats menampilkan semangat berbeza ketika berdepan KL City FC. Facebook/Kuching City FC

“Kuching City masih baru, 80 peratus pemain adalah muka baru dan kami perlukan masa. Jangan lupa kami bukan pasukan besar seperti JDT, Selangor, Terengganu dan Kedah. Kami berbelanja mengikut kemampuan kami dan kami melakukan apa yang kami mampu tetapi yang paling penting, saya mahu pemain memperbaiki diri,” katanya selepas berkongsi mata dengan Sri Pahang FC.

Benar seperti dikatakannya, Aidil Sharin – dilantik ketua jurulatih pada 2 Ogos 2023 menggantikan Irfan Bakti Abu Salim yang meletakkan jawatan – menghabiskan baki musim berkenaan dengan mengemudi KCFC muncul naib juara Piala Cabaran dan seterusnya merancang rombakan besar-besaran bagi musim baru.

Mengekalkan hanya Alif Hassan dan Diego Baggio daripada kesebelasan utama skuad musim 2023, jurulatih berusia 47 tahun itu membina semula pasukan sekitar James Okwuosa dan Rodney Celvin untuk mengukuhkan pertahanan – mereka bolos 51 gol selaku pasukan keempat terburuk musim sebelumnya.

Barisan serangannya pula menggandingkan Jordan Mintah dan Tchetche Kipre dengan tonggak musim lalu, Pedro Henrique, yang disokong Nando Welter, Dechi N’Guessan dan Petrus Shitembi dari barisan tengah selain melengkapkan pasukan pada awal musim dengan penyertaan pemain-pemain tempatan, antaranya Jimmy Raymond, Daniel Amier, Arif Fadzilah, Shamie Iszuan, Filemon Anyie dan penjaga gol, Shahril Sa’ari.

Bayangan awal daripada keserasian mereka terserlah selepas minggu kesembilan Liga Super (LS9) apabila kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Kuching pada 26 Ogos melonjakkan The Cats ke tangga keempat liga dengan 14 mata – cuma satu mata di belakang Terengganu FC.

464671316_18285186949233453_599202664409604241_n

Kipre (kiri) merupakan salah seorang daripada dua pemain skuad The Cats yang dilayangkan kad merah. Facebook/Kuching City FC

Selanjutnya, KCFC menyenaraikan pula Hazwan Bakri dan Ramadhan Saifullah dari JDT serta pemain tengah naturalisasi Bahrain, Moses Atede, ketika jendela perpindahan kedua bulan lalu bagi terus memantapkan pasukan.

Dalam perlawanan terbaru, KCFC – beraksi dengan 10 pemain dari minit ke-60 selepas kad merah kepada Okwuosa dan tinggal sembilan pemain pada minit ke-78 setelah Kipre dibuang padang – menyerlahkan semangat luar biasa untuk mengalahkan KLCFC 3-1 di Kuching pada 26 Oktober.

"Saya berikan kredit kepada pemain-pemain kerana ketika kami hilang seorang pemain, setiap orang tidak putus asa dan berjaya mendapatkan gol ketiga (menerusi sepakan penalti Kipre pada minit ke-68 selepas Paulo Josue merapatkan kedudukan 1-2 enam minit terdahulu).

“Saya bangga dengan kedudukan kami sekarang tetapi saya perlu ingatkan ini adalah saingan liga di mana setiap minggu kedudukan akan berubah.

"Semua pasukan sedang berikan saingan dan saya berpendapat setiap lawan akan mula waspada dengan pasukan kami. Saya yakin kualiti bertahan kami bertambah baik, namun saya juga harap pemain dapat kekalkan disiplin dan terus konsisten,” kata Aidil Shahrin selepas perlawanan itu.

464221420_18284326513233453_671414494986823942_n

Aidil Sharin (kiri) pasti berpuas hati dengan keringat yang dicurahkannya. Facebook/Kuching City FC

Selepas dua kekalahan terdahulu dalam kunjungan ke Semenanjung – 0-4 kepada Selangor FC (13 Sept) dan 1-2 kepada JDT (27 Sept) – yang menyaksikan kedudukan mereka melurut sedikit, kini mereka mengisi kelompok top 5 semula.

Barangkali ia hanya kebetulan apabila laman Harimau Malaya dalam fokusnya terhadap pasukanpasukan pada awal musim meramalkan Kuching City FC – dengan rombakan besar-besaran dilakukan Aidil Sharin – akan berkesudahan dalam kelompok enam teratas pada musim 2024/2025 ini.

Seorang yang meyakini kesudahan seperti itu tidak lain daripada Irfan Bakti – bekas jurulatih yang mencadangkan kepada pengurusan pasukan supaya Aidil Sharin diambil bagi menggantikannya awal Ogos lalu – dengan menganggap top 6 adalah dalam jangkauan KCFC.

“(Dibandingkan ketika saya jadi ketua jurulatih), sekarang ni Kuching City ada berbelanja sedikit untuk dapatkan pemain-pemain yang mereka mahukan.

“Dengan sokongan kuat pihak pengurusan kelab, kita tak dengar Kuching City ada masalah gaji seperti sesetengah pasukan. Jadi, pemain-pemain boleh beri sepenuh penumpuan terhadap perlawanan tanpa gangguan masalah di luar padang,” katanya.

WhatsApp Image 2024-10-29 at 5.42.08 PM

Sarawak FA menjadi salah sebuah pasukan paling digeruni satu ketika dahulu. SarawakCrocs

Sambil bersetuju bahawa Aidil Sharin telah melaksanakan tugasnya dengan pemain-pemain yang ada di samping semangat tinggi yang mereka tunjukkan, Irfan Bakti tidak terkejut KCFC dapat bersaing dengan pasukan-pasukan besar.

“Top 6? Itu tidak mustahil dan saya tidak akan terkejut jika mereka mampu mencapainya pada akhir musim nanti,” katanya lagi.

Barangkali belum lagi ketika ini tapi magis Aidil Sharin semakin hampir mengembalikan KCFC ke zaman ketua jurulatih, Awang Mahyan Awang Mohamad, dengan semangat Ngap Sayot untuk menukar Sarawak daripada pasukan belasahan ke ‘giantkiller’ pada era 1988-1989.

Cuma, berbanding Awang Mahyan yang dianggap panas baran, pantang dicabar, keras kepala, cakap lepas, dan gila-gila, Aidil Sharin pula melakukan transformasinya sebagai seorang profesional dan ‘gentleman’.

Malah, kebangkitan KCFC tidak dapat dinafikan telah mencetuskan fenomena tersendiri untuk The Cats terus dihormati dalam pusingan kedua liga yang baru menyudahi dua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram