SEORANG pejalan kaki bertindak di luar kawalan dan mengasari penunggang motosikal di tengah jalan di lampu isyarat berhadapan pusat beli belah City One, Kuching, Sarawak pada Sabtu lalu.
Melalui video tular di media sosial sejak Isnin, seorang lelaki dilihat sedang melintas jalan di celahan beberapa kereta yang berhenti ketika lampu isyarat merah.
Pada masa sama, seorang penunggang motosikal yang juga pekerja penghantar makanan yang sedang menyelit hampir melanggar pejalan kaki tersebut.
BACA LAGI: Murid lelaki berbaju merah jalur hijau hilang ketika ke sekolah agama di Kuala Lumpur
Lelaki itu bagaimanapun dilihat sempat mengelak dan berlari jauh ke kawasan selamat.
Namun, beberapa saat kemudian, individu sama berpatah balik dan menghampiri penunggang terbabit.
Berlaku pertengakaran kecil sebelum pejalan kaki itu bertindak menendang motosikal dinaiki penunggang tersebut sehingga menyebabkannya terjatuh.
Akibat daripada tindakan ganas itu, penunggang terlibat dilihat membalas balik dan satu pergaduhan tercetus di lokasi tersebut.
Di akhir video, penunggang itu berjaya menahan dan menghalang lelaki berbaju hitam daripada terus bertindak lebih ganas.
Punca pergaduhan dipercayai disebabkan provokasi yang dilakukan oleh pejalan kaki itu.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian. ― Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram