Bintang Piala MFL dari JDT, TFC, Pahang pastikan aura Arumugam tak hilang dari Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 31 Okt 2024

Mendiang Arumugam mempunyai tangan yang panjang untuk menangkap kemas bola tinggi. — Facebook

PENYOKONG bola sepak tanah air pasti mengenali Datuk R. Arumugam iaitu sosok penting yang membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka lima kali (1973, 1974, 1976, 1979, 1986) dan berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Arumugam yang digelar sebagai Spiderman itu memiliki kelebihan luar biasa kerana mempunyai tangan yang panjang untuk menangkap kemas bola tinggi atau percubaan daripada sudut yang cukup sukar.

Selepas dua tahun daripada pasukan kebangsaan, Malaysia dikejutkan dengan berita pemergiaannya apabila legenda Selangor itu disahkan eninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 18 Disember 1988.

Arumugam antara pemain berbangsa India yang memberi impak mendalam dalam arena bola sepak tanah air dan pencapaian mendiang juga sebenarnya inspirasi bagi pemain-pemain muda pada zaman sekarang.

Justeru itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda berbangsa India yang akan meneruskan legasi Arumugam;

1) G. Pavithran

pavi

Aksi Pavithran (kanan) ketika pramusim di Sepanyol. Instagram/JDT

Mengimbau kembali tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam tempoh 10 tahun ini, S. Kunanlan meruapakan pemain berbangsa India yang membawa watak utama dalam kejayaan Harimau Selatan meraih pelbagai trofi domestik dan menjadi juara Piala AFC 2015.

Selepas Kunanlan memutuskan untuk menggantung butnya pada tahun lalu, JDT masih lagi mempunyai seorang pemain berbangsa India yang mencuri tumpuan dengan dia dilabel sebagai bintang dalam pembikinan Harimau Selatan.

Pemain tersebut ialah G. Pavinthran apabila dia menunjukkan aksi mengagumkan pada pramusim di Sepanyol, yang menyaksikan pemain itu mencetak satu gol untuk membuktikan kualiti ubi Akademi JDT boleh bersaing dengan tonggak import.

Nama pemain berusia 19 tahun itu juga baru-baru ini meniti di bibir penyokong apabila Pavinthran disenaraikan sebagai pemain simpanan JDT bertemu Gwangju FC bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Meskipun tidak mendapat minit permainan namun sekurang-kurangnya pemain tengah itu berhasil meraih kepercayaan Hector Bidoglio dan meletakkan dirinya sebagai salah seorang prospek patut dipantau.

2) Rakesh Munusamy

rakseh

Rakesh ketika bersama TRW pada musim lepas. Instagram/TRW Kelantan FC

Masalah kewangan Kelantan FC pada musim lalu mungkin mimpi ngeri untuk kebanyakan pemainnya namun Rakesh Munusamy mengambilnya sebagai peluang memasarkan diri kepada pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain.

10 perlawanan pemain pertahanan tengah itu diturunkan, Rakesh berhasil memberi persembahan cemerlang sehingga tersenarai dalam skuad Piala AFF Bawah 23 tahun (B-23) pada tahun lepas.

Bukan itu sahaja, corak permainan dan aksi konsisten pemain berusia 22 tahun itu juga membuka pintu rezeki kepada Rakesh untuk berhijrah ke pasukan lebih stabil apabila ditawarkan menjadi pemain Terengganu FC II.

Selain boleh diturunkan sebagai bek tengah, Rakesh juga selesa bermain sebagai seorang bek kiri dengan kebolehannya untuk melakukan hantaran turut menjadi salah sebuah kelebihannya.

3) T. Saravanan

sara

Saravanan menyertai Sri Pahang pada awal musim ini. — Facebook/ SriPahang

Musim 2023 juga menjadi tahun terbaik buat T.Saravanan apabila pemain sayap paling berharga dalam saingan Liga Super berkat persembahannya bersama skuad The City Boys dan juga dengan pasukan B-23 tahun negara.

Ketika menyarung jersi skuad Warga Kota pada musim 2023, pemain berusia 23 tahun itu berhasil meledak dua gol dan dua hantaran bantuan dalam 21 perlawanan Liga Super dia diturunkan.

Susulan aksi konsistennya itu, Saravanan berjaya menarik minat Sri Pahang FC yang bercita-cita memperkuatkan barisan serangan di bahagian sayap pada jendela perpindahan pertama musim 2024/2025.

Bagaimanapun, Saravanan seolah-olah sukar mendapat momentumnya di kem Tok Gajah apabila dia hanya tampil dalam lima perlawanan Liga Super dengan tidak merekodkan sebarang gol mahupun hantaran bantuan. Khidmat Saravanan juga kadangkala digunakan skuad Piala MFL Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram