YAP Chin Guan baru berusia 21 tahun ketika dia diminta oleh ayahnya untuk terlibat secara langsung dalam perniagaan pembaikan dan pengeluaran gergaji yang diusahakan keluarganya.
Waktu itu, dia baru sahaja menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan sistem maklumat daripada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) pada 2014.
Meskipun bidang dipelajari sama sekali berbeza, namun dunia pembaikan dan pengeluaran gergaji bukan sesuatu yang asing baginya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Tambahan pula, selain daripada pendedahan awal terhadap pekerjaan di kilang ayahnya, dia juga sejak kecil memiliki minat mendalam khususnya terhadap mesin.
"Masa kecil bila ayah dengan ibu beli mainan. Esoknya mesti saya dah buka bahagian mainan itu dan pasang balik. Saya suka buat macam tu.
"Kemudian bila masuk Darjah Dua, ayah saya pun ambil satu set komputer daripada kilang bawa balik rumah untuk saya pakai.
"Lepas satu tahun, saya pun ulang apa yang saya buat dekat mainan. Saya buka semua CPU, monitor dan papan kekunci untuk lihat apa ada dekat dalam dan pasang semula," katanya kepada Majoriti.
Chin Guan (kanan) bersama ayahnya yang memulakan Teck Soon Saw pada 1984.
Disebabkan itu, Chin Guan berkata, apabila diminta untuk terlibat mengusahakan kilang gergaji bapanya, dia tidak berdepan kesukaran untuk membiasakan diri.
Ini kerana minatnya sememangnya sudah tertanam sejak kecil sekali gus memudahkan untuk membiasakan diri dengan mesin yang berada di kilang.
"Saya suka kerja melibatkan peralatan. Sebab itu bila saya masuk syarikat dan tengok ada mesin kawalan berangka berkomputer (CNC) dan mesin mekanikal, saya akan ambil masa untuk faham.
"Kalau mesin itu rosak, saya akan cuba kenal pasti masalah dan selesaikannya," ujarnya yang kini berusia 31 tahun.
Kini, syarikat Teck Soon Saws Repairer Sdn Bhd (Teck Soon Saw) yang sudah beroperasi hampir 40 tahun di Klang, Selangor memiliki kira-kira 30 mesin dan 20 orang pekerja dengan pendapatan bulanan kira-kira RM200,000.
Selain mengeluarkan produk gergaji, ia turut menyediakan perkhidmatan mengasah mata gergaji.
Teck Soon Saw turut menyediakan perkhidmatan mengasah mata gergaji.
Menurut Chin Guan, syarikatnya ketika ini memiliki kapasiti membekal sebanyak kira-kira 150 gergaji pelbagai jenis setiap bulan bagi kegunaan kilang perabot, aluminium, besi dan daging.
Mengulas mengenai permulaan Teck Soon Saw, dia berkata, syarikat itu diasaskan oleh bapanya, Yap Teck Peng pada 1984 secara kebetulan dan tidak dirancang.
Selepas menamatkan persekolahan, Chin Guan berkata, pada awalnya, bapanya yang ketika itu baru berusia 19 tahun bekerja di sebuah syarikat gergaji di Klang.
"Jadi masa itu baru tiga bulan bekerja bos di tempat kerjanya tiba-tiba cakap dia dah tak nak buat kerja ini dan nak jual mesin yang dia ada.
"Jadi waktu itu ayah saya pun ambil keputusan pinjam RM200 daripada ibunya untuk mula bayar ansuran beli mesin itu," katanya.
Kemudiannya, Chin Guan berkata, ayahnya bermula dengan membekalkan gergasi kepada kilang kayu sebelum meluaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan.
Sementara itu, Chin Guan berkata, sebagai generasi kedua perniagaan tersebut, dia memilik beberapa perancangan dalam usahanya bagi memajukan lagi operasi syarikat.
Teck Soon Saw membekalkan gergaji bagi kegunaan kilang perabot, aluminium, besi dan daging.
Antara langkah diambil termasuk dengan membuat persediaan beradaptasi dengan Revolusi Industri 4.0 dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan lagi kualiti produk dikeluarkan.
"Kemudian saya juga sedang cuba untuk meneroka dengan lebih meluas dunia gergaji melalui lawatan ke pameran berlangsung di luar negara seperti China dan Taiwan.
"Bila kita pergi sana, kita boleh terdedah kepada trend, penggunaan mesin dan teknologi yang lebih baik," kaatanya.
Daripada segi pemasaran pula, Chin Guan berkata, dia juga kini sedang melihat kepada peluang untuk mengeksport produk gergajinya ke luar negara antaranya di Afrika dan Indonesia.
Ujarnya, langkah itu dibantu dengan kewujudan jaringan ejen yang dimilikinya untuk meneliti peluang pasaran yang berada di negara terbabit.
"Untuk tujuan tersebut, kita pun perlu pastikan bahawa produk dikeluarkan adalah menetapi standard antarabangsa," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram