FARHAN Umar, pemilik Naurish Sdn Bhd, pernah berdepan pelbagai pengalaman pahit manis dalam penglibatannya dalam dunia perniagaan berasaskan makanan.
Ia bermula dari pembukaan kedai tomyam hingga pengilangan produk makanan kesihatan global.
Meskipun pernah menghadapi kegagalan yang cukup memberi kesan, keazaman Farhan tidak pernah surut.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, beliau terus bangkit memulakan bisnes dalam ruang lingkup sama, tetapi berskala lebih besar iaitu pengilangan pengeluaran peralatan tulen (OEM) dan pengeluar produk makanan kesihatan ke peringkat global.
Penemuan produk berasaskan sacha inchi dianggap takdir rezeki untuknya kembali meneroka dunia perniagaan.
Sachi inchi atau nama saintifiknya plukenetia volubilis adalah sejenis tumbuhan kekacang herba dari Hutan Amazon di Peru yang telah dikomersialkan tanamannya di negara ini.
Farhan menyifatkan penemuan produk berasaskan sacha inchi dianggap takdir rezeki untuknya kembali meneroka dunia perniagaan.
Farhan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Naurish Sdn Bhd, peralihannya ke perniagaan berasakan sacha inchi terjadi semuanya ketika dia terlibat dalam satu perbincangan yang berlangsung selama lima jam.
Pilihan itu didorong juga oleh keinginannya untuk menjadi pengeluar ulung dalam membangun dan memperluaskan sacha inchi bagi memenuhi keperluan gaya hidup masyarakat hari ini.
Sisi optimisnya bukan sahaja membuka ruang dan peluang, malah berjaya meletakkan hala tuju perniagaan sehingga membuahkan hasil.
Rezeki berpihak kepadanya selepas syarikatnya diberi peluang melakukan penjenamaan semula syarikat ZEMVELO yang mengkhususkan produk Sacha Inchi Marketing, sekali gus bersama kilang pengeluaran, Sacha Inchi Marketing Sdn. Bhd.
Ia sekali gus meletakkan Naurish sebagai pelopor utama dalam pasaran sacha inci termasuk menerusi 22 syarikat jenama OEM Sacha Inchi di bawah naungannya.
Detik hitam hidup
Naurish Sdn Bhd diberi peluang melakukan penjenamaan semula syarikat ZEMVELO yang mengkhususkan produk Sacha Inchi Marketing.
Dalam perjalanan perniagaannya, Farhan turut pernah mengalami depresi yang teruk apabila ditipu oleh rakan niaganya beberapa kali.
"Dahulu saya pernah hidup senang tiba-tiba diuji jatuh terduduk kerana ditipu rakan niaga beberapa kali sehingga terpaksa menanggung hutang yang mencecah jutaan ringgit.
“Kawan-kawan semua lari. Saya mengalami depresi sehingga bercakap dengan dinding. Pun demikian, anak-anaklah pembakar semangat.
“Merekalah motivasi untuk saya mengubah nasib supaya tidak susah seperti apa yang saya alami.
“Saya nekad mencari jalan dan mengatur strategi memulakan kembali perniagaan. Hasilnya Naurish Sdn. Bhd., simbolik kebangkitan saya selepas gagal teruk,” ujarnya.
Mengambil pengalaman tersebut, Farhan berkata, adalah penting untuk generasi muda untuk memilih kumpulan rakan yang mahu dijadikan sebagai sandaran dalam kehidupan termasuk perniagaan.
Sementara itu, Farhan turut menyatakan portfolio utamanya adalah untuk menghasilkan produk kesihatan berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi yang diiktiraf halal tanpa diragui.
Selain memperoleh keuntungan margin besar, ia juga seiring dengan manfaat sacha inchi yang beri kepuasan para pengguna.
“Tambahan pula pengguna sering ditipu dengan gel lembut (softgel) yang diragui sumbernya di pasaran.
“Produk kami ada jaminan selain mempunyai sijil halal, setiap produk dihantar menjalani ujian makmal secara teliti bagi memastikan kandungan Omega 3,6 dan 9 melepasi piawaian tertinggi,” ujarnya.
Antara produk berasaskan Sacha Inchi di bawah jenama ZEMVELO. — Agensi
Kata Farhan, softgel juga dipertingkatkan mutunya yang mempunyai kadar larut lebih pantas dan serapan optimum dalam tempoh satu minit.
“Softgel produk kami berasaskan 100 peratus tumbuhan bebas lemak haiwan.
“Saya berbesar hati kerana menjadi pemegang sijil halal dan peroleh kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pada masa sama, turut berdaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat.
“Ia mengukuhkan lagi keyakinan dan memperkasakan tanggungjawab untuk pasaran antarabangsa sebagai produk sihat dan selamat dimakan,” terangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram