[VIDEO] Bimbang ibu kota hanyut kemodenan Barat, MonoloQue gesa KL contohi Terengganu pertahan seni budaya


  • Massa
  • Selasa, 29 Okt 2024

Seni ukiran pada rumah-rumah tradisional masih diterapkan dalam kehidupan harian. — Discovery Terengganu

KEPESATAN era moden membawa pelbagai cabaran kepada identiti dan budaya masyarakat tempatan dalam mengekalkan warisan budaya apabila terlalu banyak pengaruh dari negara-negara Barat.

Dalam mendepani arus modenisasi yang semakin mencabar budaya tempatan, Terengganu muncul sebagai contoh unggul dalam mengekalkan dan memartabatkan warisan budayanya.

Kalau kita lihat penduduknya bukan sahaja menghargai warisan budaya mereka, tetapi juga berusaha untuk memastikan nilai-nilai tradisional terus hidup dalam kehidupan seharian dan terus dihargai di era moden kini.

BACA LAGI: Anggur premium tumbuh di negara 4 musim hidup subur di Gopeng

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat

Perkara itu turut menjadi perhatian penyanyi MonoloQue yang berpendapat masyarakat kini hanyut dengan kemodenan Barat yang sehingga membuatkan identiti seni budaya kian pupus dek kepesatan zaman.

Dia yang terkenal dengan memartabatkan irama tradisional itu menerusi perkongsian videonya berkata, masyarakat kini lebih suka mengikut sesuatu yang tidak sepatutnya dan kagum dengan rakyat Terengganu yang menghargai budaya mereka.

Penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu, budaya tradisi yang hidup antaranya adalah terdapat papan tanda yang jelas menyatakan 'Berjudi dan Arak Membinasakan'.

"Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur apabila semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris.

"Saya tidak faham mengapa kita perlu berbuat demikian. Apakah yang kita dapat daripada menggunakan bahasa Inggeris?

"Adakah kita merasa seolah-olah kita berada di dunia pertama atau seperti New York?," luahnya.

Kesal dengan situasi itu, MonoloQue melontarkan pandangan bahawa di Terengganu terdapat bas yang mengekalkan suasana rumah Nusantara dengan ukiran bumbung klasik yang mana perhatian kepada perincian itu sering kurang dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di negeri lain.

"Semakin kita ke Selatan, semakin hilang budaya ini terutamanya di Kuala Lumpur," katanya.

22monolog2

MonoloQue berharap semua pihak segera memainkan peranan dengan baik bagi memartabatkan seni budaya yang kian semakin pupus ditelan zaman.

Tambahnya, kebanyakan jalan-jalan di Terengganu seperti di Batu Buruk menggunakan papan tanda yang menampilkan unsur-unsur seni dan budaya tempatan.

Menurutnya, tidak hairanlah mengapa Terengganu kaya dengan budaya, mereka bukan sahaja kaya malah mengamalkan nilai-nilai itu dalam kehidupan seharian mereka.

Batik dari Terengganu dan Pahang walaupun dalam rumah batu konkrit tetap menunjukkan tradisi budaya sebagai identiti, jelasnya.

"Perkara ini mencerminkan jati diri mereka walaupun kebanyakan dibawa arus kemodenan, mereka tidak melupakan akar budaya mereka.

"Inilah maksud sebenar globalisasi, kita membawa ruang, suara dan seni budaya kita ke persada dunia tanpa perlu menjadi seperti McDonald's atau yang seumpamanya," katanya.

Bagaimanapun, MonoloQue berharap semua pihak segera memainkan peranan dengan baik bagi memartabatkan seni budaya yang kian semakin pupus ditelan zaman.

"Mungkin keputusan ini datang dari kerajaan negeri atau agensi seperti pihak berkuasa tempatan.

"Terima kasih, Terengganu kerana membuka mata kita dan menunjukkan bahawa masih ada harapan untuk kita kekalkan seni dan budaya ini.

"Bukan hanya untuk kekal tetapi untuk diraikan, perlahan-lahan tetapi pasti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram