SEORANG lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Kedah pada Ahad.
Media melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, difahamkan pergi ke lokasi berkenaan untuk membeli ikan segar yang baru di pasar berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.41 tengah hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Rider kena 'sekolah' buat live, tak hormati keluarga mangsa kemalangan maut
Lokasi terakhir mangsa di sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda. — JBPM
Syukri Hashim berkata, sepasukan anggota BBP Tikam Batu yang diketuai Rudzuan Husain bersama 13 anggota termasuk anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi berkenaan.
Tambah beliau, setibanya di lokasi, tindakan awal pencarian dilakukan secara di permukaan air dan sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kemudian diarahkan ke lokasi.
“Tindakan operasi mencari mangsa dilakukan menggunakan sebuah bot aluminium dan dibantu empat bot nelayan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 6.56 petang atas faktor keselamatan dan disambung pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram