[VIDEO] Penduduk berang lembu berkeliaran di Sabak Bernam punca kemalangan maut, minta 'tuan' tampil bertanggungjawab


  • Massa
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Seorang penduduk di Sabak Bernam, Selangor meninggal dunia selepas terlanggar seekor lembu yang berkeliaran di kawasan itu baru-baru ini.

PENDUDUK berang apabila masalah lembu berkeliaran terus mengganggu pengguna jalan raya sehingga menjadi punca kemalangan di Sabak Bernam, Selangor.

Menerusi hantaran di media sosial, seorang pengguna, Fifi Rzk Mua meluahkan rasa kesal apabila saudaranya yang terbabit dalam kemalangan akibat terlanggar lembu disahkan meninggal dunia.

"Al-Fatihah sepupuku. Semoga pihak berkuasa ambil tindakan," tulisnya.

Fifi turut memuat naik sebuah rakaman video yang menunjukkan beberapa penduduk mencari pemilik lembu berkenaan.

"Ini bukan lembu liar, lembu ni ada tuan. Saya cabar agar tuan lembu ini segera buat pengakuan. Sedih saya ziarah seorang lelaki yang terkorban selepas terlanggar lembu berkenaan.

"Jangan sampai kami masyarakat buat tindakan sendiri. Bela lembu kamu baik-baik kerana sudah ramai yang terlanggar. Ada yang cedera parah dan ada yang terkorban," kata penduduk menerusi rakaman terbabit.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penduduk pilu apabila kes sebegitu terus membawa masalah kepada penduduk.

"Minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pejabat haiwan kenakan lesen untuk penternak lembu. Buat tanda telinga untuk mudah kita kenali siapa pemilik lembu-lembu yang berkeliaran itu. Barulah penternak lembu kebun ini ada akal," tulis Mohd Fuad Ramli.

"Maaf sekadar bagi pandangan. Apa kata letak tanda pada lembu-lembu itu semua. Apabila dah ada tanda jadikan mudah untuk mencari tuan punya lembu itu. Cari mana-mana pihak yang ada kuasa untuk buat tanda-tanda di lembu itu," tulis Mohd Ram Selak.

"Tuan lembu tak ada rasa apa-apa ke bila orang langgar lembu dia tercedera, sehingga ada yang mati. Boleh ke hidup dengan tenang?," tulis Zara Nawawi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram