MENJELANG 2043, Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan sebanyak 14 peratus daripada penduduknya terdiri daripada populasi warga emas yang berusia 65 tahun ke atas.
Ia berlaku berikutan peningkatan jangka hayat pembangunan negara dan penurunan kadar kelahiran.
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang menyokong perkara itu menyatakan bahawa perubahan demografi itu akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta
Malaysia dijangka menjadi negara dengan penduduk majoritinya warga emas menjelang 2043. — Gambar hiasan
Menyentuh soal kesihatan, pakar diet warga emas di IMM Carehub, Lim Kah Yen tidak menafikan penjagaan kesihatan untuk golongan itu perlu diutamakan.
IMM Carehub merupakan sebuah pusat penjagaan yang menerapkan gaya hidup sihat khusus buat golongan warga emas di sekitar Kuala Lumpur.
Kah Yen yang berpengalaman selama dua tahun dalam industri itu berkata, kawalan pemakanan bukan sahaja perlu dilakukan untuk kanak-kanak, malah juga penting buat warga emas.
Sebagai pakar diet, dia juga bertanggungjawab dalam memastikan pesakitnya sentiasa mengambil makanan seimbang dan sihat dengan konsisten.
"Saya juga ada kemahiran dalam bidang geriatrik iaitu cabang perubatan yang khususnya tertumpu pada aspek-aspek klinikal, pencegahan, pemulihan dan sosial bagi penyakit di kalangan orang berumur.
"Sepanjang penglibatan saya dalam dunia perubatan ini, pelbagai jenis keadaan dapat dilihat dan berpeluang juga untuk menguruskan kes-kes berat.
"Ia pada masa sama buatkan saya lebih motivasi dan semangat terutamanya apabila lihat peningkatan tahap kesihatan selepas mengikut rawatan yang diberi," katanya kepada Majoriti.
Lim Kah Yen
Kah Yen berkata, tindakan mereka untuk bangkit dan menguruskan kesihatan melalui kawalan pemakanan sudah cukup mengagumkannya sebagai pakar diet.
Baginya, antara cabaran besar pernah dihadapi adalah melibatkan pengurusan penjagaan pesakit diabetes, Alzheimer (gangguan ingatan) dan Parkinson (gangguan neurologi).
Katanya, meskipun diabetes adalah keadaan biasa dalam kalangan profesional kesihatan, namun bagi Kah Yen kes itu sangat mencabar kerana pesakit yang yang berusia tua kebiasaannya enggan menerima nasihat pakar sekali gus menyukarkannya untuk mengubah diet mereka.
"Sebagai contoh, saya terpaksa mendalami dan memahami seorang pesakit berumur 75 tahun yang menghidap diabetes.
"Saya akui sangat susah, tetapi bila saya tahu dia kehilangan orang tersayang iaitu isterinya, saya mula faham emosinya.
"Rupanya dia sukar nak tukar cara pemakanan sihat sebab masih teringat isterinya yang sudah meninggal dunia itu.
"Disebabkan itu, banyak makanan yang dia nak makan walaupun tak sesuai untuk diabetes kerana ia satu-satunya cara untuk sentiasa ingat kepada isterinya," jelasnya.
Warga emas juga cenderung menghidap penyakit diabetes. — Gambar hiasan/Agensi
Menurutnya, selepas berkali-kali percubaan untuk memujuk, Kah Yen berjaya berunding dan memberi cadangan untuk mengawal pemakanan seimbang tanpa melupakan hubungan atau kenangan itu.
Kah Yen juga menggunakan pendekatan secara psikologi dengan menasihati pesakit tersebut untuk menjaga kesihatan agar dapat menikmati masa bersama ahli keluarga lain.
Dia pada masa sama menasihati masyarakat lain mendapatkan nasihat pakar sekiranya berdepan masalah dalam mengawal pemakanan seimbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram