DALAM dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, kelelahan akibat membanting tulang seharian pastinya dihadapi kebanyakan pekerja di seluruh dunia.
Tuntutan tugas yang banyak juga tidak mustahil membuatkan pekerja berasa tertekan dan letih daripada segi fizikal dan mental.
Oleh itu, pentingnya bagi setiap individu mencari cara bagi mengatasi masalah berkenaan seperti dengan melakukan aktiviti senaman, menghabiskan waktu bersama keluarga atau melakukan hobi santai.
BACA LAGI: [VIDEO] Usaha kecil tapi impak besar, ramai doakan ‘Abang Bas’ tolong buang air banjir
BACA LAGI: Desak WFH musim banjir, ramai terlupa PdPR sudah cukup susahkan ibu bapa dan guru
Setiap individu perlu mempunyai hobi atau minat sebagai langkah mengatasi tekanan selepas bekerja. — Gambar hiasan/Agensi
Beberapa hobi santai yang sering dipilih adalah berkebun, membaca buku, bergambar atau memasak.
Kegiatan-kegiatan itu kemungkinan dapat melupakan sejenak tekanan sehari-hari dan menikmati waktu untuk diri sendiri.
Bagi Mohd Ramdan Mohd Zin, 35, pula, menyertai Sekretariat Pengakap Udara Kebangsaan (SPUK) adalah bertujuan untuk menenangkan fikiran dan sebagai hobi pada waktu lapang.
Mohd Ramdan berkata, ia merupakan aktiviti bermanfaat yang mungkin tidak ramai tahu tentang kewujudannya.
Beliau yang juga guru di Kolej Tingkatan Enam di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor itu menyatakan bahawa acara jambori antara aktiviti kerap dilakukan oleh pengakap bukan sahaja memberikan ruang untuk bersantai, malah ia dapat membina rangkaian kenalan yang lebih luas.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mendaki, berkhemah dan permainan kumpulan.
Mohd Ramdan menyertai program SPUK ketika waktu cuti.
Aktiviti-aktiviti itu juga tidak hanya menguji ketahanan fizikal, tetapi juga meningkatkan semangat kerjasama dan saling sokong antara peserta.
Namun, menurutnya, pengakap udara sedikit berbeza kerana ia melibatkan aktiviti untuk memperkenalkan ilmu penerbangan kepada orang ramai terutamanya golongan muda seperti pelajar sekolah.
"Dengan fokus kepada ahli pengakap muda, ia biasanya melibatkan pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 serta pengakap remaja dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5.
"Unit udara ini merupakan perluasan daripada skim pengakap biasa iaitu para peserta akan mendapatkan pengetahuan tambahan berkenaan penerbangan dan aerodinamik.
"Contohnya, dalam program pengakap muda, peserta berpeluang untuk merasai pengalaman menerbangkan pesawat simulator menggunakan pesawat kawalan jauh atau remote control (RC) dan belajar membina model pesawat," katanya kepada Majoriti.
Terlibat sejak sekolah rendah, Mohd Ramdan yang kini Setiausaha SPUK berkata, antara aspek menarik adalah apabila peserta diberi peluang membuat lawatan ke menara kawalan di lapangan terbang.
Peserta SPUK dapat mempelajari tentang ilmu penerbangan. — Facebook/SPUK
Mereka dapat menyaksikan proses pendaratan, pengurusan pesawat dan memahami cara perancangan penerbangan.
Para peserta juga akan diajar tentang jenis-jenis awan, arah angin serta faktor-faktor yang mempengaruhi penerbangan.
Menurutnya, bagi mereka yang mempunyai minat terhadap dunia penerbangan, SPUK menjadi platform ideal untuk mengembangkan pengetahuan dan pengalaman.
Ia sekali gus mempersiapkan dan memudahkan mereka untuk memilih laluan kerjaya dalam bidang tersebut selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
"Di sini, saya berpeluang merasai pengalaman untuk terbang dan memahami konsep penerbangan walaupun saya bukan seorang juruterbang.
"Macam saya pun ada lesen untuk buat penerjunan solo dari ketinggian 4,000 kaki. Ini semua saya buat sebab minat yang mendalam.
"Walaupun ia nampak mudah, mengendalikan pesawat RC memerlukan pemahaman tentang komponen penting untuk kawal pesawat. Saya juga belajar bagaimana menggunakan flap untuk pendaratan yang lebih lancar," katanya lagi.
Peserta juga berpeluang belajar tentang cara-cara mengawal pesawat. — Twitter/SPUK
Demi minat dan hobinya itu, Mohd Ramdan juga sanggup menghabiskan sebanyak RM7,000 hingga RM8,000 untuk melakukan penerbangan RC.
Jelasnya, SPUK juga merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di bawah Persatuan Pengakap Malaysia serta diiktiraf di dalam Akta Parlimen.
Ia ditubuhkan bagi memberi para ahli terutamanya generasi muda pengalaman bermanfaat dan pendedahan awal terhadap dunia penerbangan.
Sebagai guru, Mohd Ramdan juga sangat menggalakkan para pelajarnya melibatkan diri dalam SPUK sebagai cara mengurangkan tekanan ketika belajar di sekolah.
"Kadang-kadang, apabila pelajar terperap di sekolah, mereka boleh merasa tertekan. Jadi, aktiviti ini memberikan sedikit keseronokan dan hiburan.
"Hari biasa, mereka mungkin tidak berpeluang untuk menyaksikan perkara seperti ini, tetapi melalui pengalaman ini, mereka dapat belajar sambil berseronok," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram