KEMENTERIAN Kesihatan tidak menemui bukti berlakunya bebanan kerja terlalu tinggi dan insiden buli dalam kes kematian seorang doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang pada awal tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, siasatan awal mendapati 30 pegawai perubatan lain sedang bertugas ketika doktor terbabit bekerja, iaitu satu jumlah melebihi had maksimum 25 doktor pada satu-satu masa.
“Bagaimanapun, kita sedang menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut, dan kita bukan sahaja meneliti (buli) di Pulau Pinang tetapi juga di peringkat nasional, bagi menangani semua kes buli,” katanya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkongsi mengenai siasatan tersebut kepada pemberita selepas menyertai acara jelajah Bersih dan Bebas Asap Asap (BeBAS) di George Town pada Ahad.
Pada 17 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian sedang menyiasat kes kematian seorang doktor di hospital Seberang Jaya pada Jun lalu yang dikaitkan dengan kejadian buli dan beban kerja berlebihan.
Lukanisman menegaskan KKM sedang giat menyiasat dan menangani semua kes buli melibatkan anggota pegawai kesihatan khususnya doktor dan tidak akan berkompromi dengan sebarang insiden tersebut di fasiliti kementerian seluruh negara.
Tambahnya, ini termasuk kes kematian seorang pakar patologi di sebuah hospital di Lahad Datu , Sanaj pada 29 Ogos lalu yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram