PELUMBA skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Elmi Jumari dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan ketika menuju ke garisan penamat Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth, Pulau Pinang.
Insiden pada Isnin itu mengakibatkan jari telunjuk kiri anak buah ketua jurulatih, Yusof Nasir itu patah.
Yusof dilaporkan berkata, Mohd Elmi terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut susulan keadaannya yang sangat membimbangkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Lajunya peserta LTdL, sampai berkelip lampu AES
"Kami mungkin kehilangan satu-satunya pakar pecut dalam pasukan," katanya memetik laporan Harian Metro, sejurus tamat perlumbaan sejauh 154.4 kilometer (km) itu.
Menerusi keputusan yang dikeluarkan oleh komisar LTdL 2024, Mohd Elmi didakwa menjadi punca kemalangan peringkat kedua ketika 150 meter sebelum menuju ke garisan penamat.
Malang buatnya apabila tidak hanya cedera, dia juga didenda sebanyak 200 Swiss Franc (RM978.50) oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada petang Isnin.
Dalam perkembangan sama, pelumba berusia 34 tahun itu difahamkan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
Perlumbaan LTdL peringkat kedua dimenangi oleh jaguh JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat.
Meskipun agak terganggu dengan situasi itu, Yusof menyuarakan keyakinan bahawa pasukannya masih mampu meraih keputusan baik dalam perlumbaan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram