Kartel palsu tuntutan bebankan pentadbiran, kos pengurusan PERKESO - MTUC


  • Massa
  • Khamis, 05 Sep 2024

Tindakan memalsukan tuntutan faedah PERKESO umpama rompakan wang dan manfaat pencarum. — Gambar hiasan

KARTEL pemalsuan tuntutan Hilang Upaya Kekal (HUK) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang melibatkan doktor di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang disifatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai satu tindakan merompak wang pencarum.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, penyalahgunaan dana itu dapat merosakkan sistem perlindungan sosial serta menafikan hak pekerja yang sah untuk menerima manfaat mereka.

Katanya, caruman dikumpul para pencarum yang terdiri daripada pekerja dan majikan itu bertujuan melindungi kebajikan mereka sekiranya berlaku kemalangan, penyakit atau kecederaan berkaitan pekerjaan.

BACA LAGI: [VIDEO] PERKESO tak kompromi, akan rombak proses tuntutan palsu faedah HUK di hospital susulan kes kartel doktor di P.Pinang

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga doktor kanan di P.Pinang antara 33 direman atas dakwaan palsukan tuntutan PERKESO sejak 2017

2895207

Seramai 36 individu direman bagi membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya PERKESO.

Mohd Effendy berkata, tuntutan palsu melanggar prinsip keadilan dan integriti dana keselamatan sosial yang dikhususkan untuk membantu pekerja benar-benar memerlukan.

"Lebih malang apabila kegiatan terkutuk ini turut membabitkan pengamal perubatan termasuk doktor pakar yang bersekongkol selepas dikaburi dengan laba yang dijanjikan rangkaian kartel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy menjelaskan bahawa tuntutan palsu itu sekali gus menambah beban pentadbiran dan kos pengurusan PERKESO, yang boleh memaksa organisasi berkenaan untuk menaikkan kadar sumbangan di masa hadapan.

Katanya, ia memberi kesan negatif kepada pencarum sah yang terpaksa menanggung beban tambahan akibat penipuan tersebut.

"MTUC juga ingin mengingatkan bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan tuntutan palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memperuntukkan hukuman denda tinggi dan penjara bagi pesalah.

"Kami berpendirian bahawa sebarang tindakan penipuan atau penyalahgunaan dana pencarum harus dibanteras dengan segera demi menjaga kepentingan pekerja dan mengekalkan keberkesanan sistem keselamatan sosial negara," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam memastikan integriti sistem PERKESO terpelihara.

Terdahulu, seramai 36 individu termasuk lima doktor pakar tulang kini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kartel pelmasuan tuntutan berjumlah RM2.1 sejak 2017.

31 individu lain pula membabitkan 19 pemohon tuntutan, sembilan ejen dan tiga ‘runner’ berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.

Modus operandi kartel itu juga melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram