Koperal polis mengaku tidak bersalah curi enjin RXZ milik wanita di Kemaman


Koperal terbabit didakwa mencuri enjin motosikal Yamaha RXZ milik seorang wanita dari tepi bangunan pejabat siasatan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman. — Gambar hiasan

SEORANG koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu pada Ahad atas pertuduhan mencuri enjin motosikal jenis Yamaha RXZ.

Menurut laporan Buletin TV3, tertuduh Koperal Faris Zahim Farizan, 32 yang bekerja di Balai Polis Chukai membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut kertas pertuduhan, koperal terbabit didakwa mencuri enjin motosikal Yamaha RXZ milik seorang wanita di tepi bangunan pejabat siasatan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman antara pukul 12.45 pagi dan 1.15 pagi pada 20 Julai lalu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motor dan membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Muhammad Afif Mohd Amir, manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.

Masliela merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah seorang yang berpendapatan rendah dan sudah berkahwin serta mempunyai tanggungan keluarga.

Wan Suhaila menetapkan ikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November depan untuk sebutan kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram