"SAYA ikhlas tolong dia." Demikian kongsi Asrul Sani Zainuddin, pemilik kepada bengkel membaiki dan jual beli alat motosikal dikenali sebagai Awen Motorpart di Maran, Pahang.
Asrul mendapat perhatian selepas videonya membantu penunggang mengalami kerosakan motosikal di tepi lebuh raya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tular di media sosial sejak Selasa lalu.
Menerusi video terbabit, dia dilihat tampil membantu dua beranak yang mengalami kerosakan motosikal jenis Yamaha RXZ dengan menaiki motosikal.
Difahamkan, pada waktu itu, mereka sedang dalam perjalanan pulang selepas menyertai himpunan motosikal RXZ Members 6.0 di Terengganu baru-baru ini.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Asrul, 42, berkata, kejadian yang tular itu berlaku pada Isnin lalu.
Menurutnya, pada awal hari tersebut, dia sebenarnya telah terlebih dahulu membantu membaiki kerosakan motosikal dinaiki dua beranak, iaitu pasangan ayah dan anak itu di bengkelnya di Maran.
Ujarnya, dia sebelum itu dimaklumkan mengenai isu dihadapi motosikal mereka sejak Ahad oleh seorang kenalan yang merupakan pemilik kepada calet yang didiami dua beranak itu sebelum mereka bertolak balik ke Rawang Selangor pada Isnin.
"Masa hari Ahad itu kawan saya maklumkan ada motor orang rosak kena baiki. Mereka datang enam orang, tapi yang empat dah balik dulu. Jadi dua beranak yang motor rosak itu terpaksa bermalam. Sebab nak hantar baiki pun hari itu bengkel tak banyak yang buka sebab masih cuti.
"Jadi esoknya saya pun tunda bawa motor mereka ke bengkel untuk baiki. Bila dah siap, mereka pun puas hati dan yakin untuk teruskan perjalanan balik. Tapi waktu itu, saya memang pesan dekat anak dia, kalau ada jadi masalah dekat lebuh raya, beritahu sahaja.
"Insya-ALLAH saya akan sampai. Cuma cepat atau lambat sahaja. Sebab saya beritahu dia motor RXZ dia punya setting ada lain macam sikit, jadi risau ada jadi apa-apa," katanya kepada Majoriti.
Menurut Asrul, dalam sekitar setengah jam selepas dua beranak itu meneruskan perjalanan, dia kemudiannya menerima panggilan daripada anak pelanggannya itu yang memaklumkan enjin motosikal mereka terhenti di LPT berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Lanchang.
Menurutnya, lokasi tersebut terletak kira-kira sekitar 30 km dari Maran dengan perjalanan yang memakan masa sekitar 30 minit dengan menaiki motosikal.
"Kalau nak towing motor itu, makan dekat RM300 juga. Jadi saya pun minta dia periksa apa yang patut sebelum ambil keputusan pergi ke tempat mereka untuk tolong baiki dan ganti apa yang perlu dekat situ juga
"Saya sampai dalam pukul 3.30 setengah petang. Waktu itu memang panas cuaca dengan tepi lebuh raya lagi. Bila dah siap semua, mereka pun teruskan perjalanan.
"Alhamdulillah mereka kemudian maklumkan dah sampai di Selangor dalam pukul 8 malam hari tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Asrul berkata, dalam kejadian tersebut, dia juga tidak meminta dua beranak itu untuk terus membayar upah dan kos pertukaran alat ganti yang dilakukannya kerana mahu mereka terlebih dahulu sampai di destinasi yang mahu dituju.
"Saya beritahu mereka balik dulu Selangor selesaikan dulu apa yang patut. Saya cakap upah pun saya tak mahu lagi, saya ikhlas bantu. Nanti dah ada duit baru bayar. Itu yang saya beritahu mereka," ujarnya yang juga merupakan bapa kepada dua orang anak.
Tangkap layar video tular memaparkan Asrul tampil membantu membaiki motor jenis RXZ yang mengalami kerosakan di tepi lebuh raya LPT baru-baru ini.
Susulan daripada video yang tular mengenai kejadian tersebut, Asrul berkata, terdapat segelintir warga maya yang mengecamnya dan menyifatkan bantuan diberikan itu adalah mempunyai niat untuk mencari populariti bagi perniagaannya.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak langsung mengambil hati terhadap tuduhan sedemikian.
"Saya pun sebenarnya malas nak layan. Biasalah media sosial biasa. Sedangkan ustaz yang baik pun orang kecam, ini pula orang biasa macam kita. Mereka tak puas hati, biarlah," ujarnya.
Dalam pada itu, Asrul berkata, itu bukan kali pertama dia tampil membantu individu yang mengalami masalah dengan motosikal mereka di tepi lebuh raya.
Malah menurutnya, sekiranya tiada sebarang urusan, dia juga akan bersedia untuk menerima sebarang panggilan untuk membantu membaiki motosikal rosak di tepi lebuh raya setiap kali berlangsungnya sebarang acara pemotoran di sekitar Pantai Timur.
"Kita tolong ikhlas. Ini bukan kali pertama, sebenarnya dah banyak kali dah. Cumanya waktu itu kita memang tak ambil video tunjuk.
"Kadang-kadang orang LPT atau penjaga tol sendiri yang hubungi maklumkan ada kerosakan motor atau kejadian tayar pancit," ujarnya.
Buka bengkel secara sambilan
Asrul berkata, sejak beberapa tahun lalu, dia hanya melakukan kerja membaiki dan menjual alat ganti secara sambilan di Maran melibatkan motosikal 'kapcai' antaranya Yamaha RXZ dan Yamaha LC.
Ujarnya, bengkel membaiki motosikal miliknya itu juga dibuka secara kecilan di sebuah kampung dan bukannya di premis tetap seperti rumah kedai.
Menurut Asrul, selain membaiki motosikal, dia turut melakukan pekerjaan lain antaranya menjual mercun dan juga memburu madu tualang untuk tempoh pada bulan tertentu.
Bengkel kecil milik Asrul yang dibuka di sebuah kampung di Maran.
Bercerita mengenai bagaimana timbulnya idea membantu penunggang mengalami kerosakan di tepi lebuh raya itu, Asrul berkata, perkara itu tercetus ketika dia mengalami satu insiden ketika sedang dalam perjalanan pulang menaiki kereta bersama dua anaknya di LPT.
"Waktu itu ada sebiji motor alami kerosakan tayar pancit di Karak. Saya pun berhenti tanya sebab tengok dia bawa motor dah macam tak betul. Kebetulan pula saya ada bawa tiub tayar dalam kereta.
"Masa itu maghrib, jadi saya pun pasang lampu isyarat, kunci kereta semua. Dengan lampu yang saya ada, saya tolong dia pasang tayar itu.
"Sejak daripada itu pun saya selalu bawa sikit tiub tayar dan alatan yang perlu dalam kereta," ujarnya mengingat kembali kejadian yang berlaku kira-kira setahun lalu.
Bermula daripada situ, Asrul berkata, dia mula menerima panggilan sekiranya terdapat mereka yang memerlukan bantuan di kawasan LPT sekitar Maran.
"Kita niat ikhlas nak bantu, mudahkan urusan orang. Upah saya memang tak kisah. Tak bagi pun tak apa. Sebab tiub tayar pun satu baru RM8. Kalau orang bagi saya RM30 pun saya ambil sahaja," katanya.
Menurut Asrul, dia juga pernah menerima upah RM200 daripada pelanggan yang dibantunya kerana mereka sangat menghargai pertolongan yang diberikannya.
"Sebab atas lebuh raya biasanya memang susah orang nak tolong. Dia sampai menangis tengok saya minta saya ambil duit yang diberikan. Tapi akhirnya saya cakap saya terima RM100 sahaja," katanya.
Asrul berkata, lazimnya, kebanyakan orang ramai sememangnya agak khuatir untuk memberikan bantuan terhadap mereka yang mengalami kerosakan di tepi lebuh raya.
"Dekat lebuh raya ini memang susah orang nak berhenti. Orang takut. Saya pun sebenarnya takut juga, tapi cuba sedaya upaya jaga keselamatan," ujarnya yang turut bersyukur kerana tidak pernah lagi berdepan dengan sebarang kejadian tidak diingini ketika memberikan bantuan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram