Satu famili bersedih, dakwa bayi baru 2 hari meninggal dunia akibat sikap acuh tak acuh staf hospital di Terengganu


  • Tular
  • Rabu, 18 Sep 2024

Rushashraf kecewa kehilangan anak saudaranya apabila mendedahkan kes yang berlaku kepada adiknya itu di laman X.

SEORANG bayi yang baru sahaja berusia dua hari didakwa meninggal dunia atas sebab kecuaian staf sebuah hospital yang terletak di Terengganu baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman X, seorang lelaki, Rushashraf mendedahkan tentang kes adiknya yang menghidapi penyakit Streptokokus Kumpulan B (GBS) dan Gestational diabetes mellitus (GDM) sewaktu mengandungkan bayi sulung.

"Pada 14 September sekitar pukul 7.30 malam, adik saya ke hospital D***** untuk pemeriksaan. Beliau sudah memaklumkan kepada doktor tentang keadaan GBS dan GDM. Doktor membenarkan beliau untuk pulang ke rumah." katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Semoga ALLAH berkati dunia akhirat', peserta Acara RXZ Members 6.0 Terengganu berkumpul imarahkan masjid dan surau

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

Mengulas lanjut, pada 15 September sekitar 3 pagi, adiknya kembali ke hospital tersebut kerana berlaku kontraksi setiap empat minit.

"Adik saya sekali lagi maklumkan tentang GBS dan keinginan untuk dirujuk ke hospital lain iaitu Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ).

"Walaupun bacaan CTG menunjukkan tanda-tanda tidak baik, pihak hospital masih lambat merujuk ke HSNZ," katanya.

Tidak hanya itu, sewaktu melahirkan di hospital berkenaan, Rushashraf meluahkan rasa kesal apabila adik perempuannya yang menghidap GBS tidak menerima layanan yang sewajarnya.

"Paling menyedihkan pihak hospital D***** ini buat macam tak tahu sahaja tentang sejarah kelahiran anak pertama bagi adik aku ni. Langsung tak ada langkah precaution untuk adik aku yang ada GBS.

"Dia minta antibiotik sebelum beranak tetapi staf buat tak tahu sahaja. ⁠Bukaan rahim sudah 3-4 sentimeter (cm) baru tergesa-gesa bagi antibiotik" katanya.

Selepas anggaran kira-kira 30 minit kelahiran, Rushashraf berkata, doktor memaklumkan bahawa bayi berkenaan mengalami masalah pernafasan dan perlu diintubasi.

"Mula-mula di bahagian paru-paru selepas itu merebak ke dalam saluran darah.

"Paling sedih adik aku beranak sebelum subuh dan anak dia ada masalah nafas laju. Dekat tengahari baru sahaja ready untuk hantar ke hospital besar," katanya.

Selepas tiba ke hospital besar, Rushashraf berkata, bayi berkenaan sudah kritikal sehingga perlu ditidurkan.

"50-50 dah. kena tidurkan dengan wayar-wayar penuh dekat badan," katanya.

Difahamkan, aduan telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Majoriti sedang mendapatkan respons daripada pihak hospital berkenaan berhubung dakwaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram