TANPA pejabat mahupun kedai, tiga pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan syarikat yang menggunakan teknologi automasi, Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyediakan perkhidmatan mesin percetakan layan diri 24 jam.
Melalui produk perkhidmatannya dikenali sebagai, PrinTEX, mereka menyediakan sistem menggunakan aplikasi khas bagi memudahkan pelanggan khususnya yang terdiri daripada pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) mendapat akses perkhidmatan percetakan pada bila-bila masa.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Uninet Technology, Low Lie Xin, 24, pada awalnya, dia hanya menyediakan perkhidmatan tersebut menggunakan alat percetakan peribadi miliknya di bilik sekitar 2022.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Lie Xin yang berasal dari Kluang, Johor, berkata, ilham menawarkan khidmat itu tercetus selepas dia berdepan pengalaman perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer (km) untuk mencetak keperluan pembelajarannya selepas kebanyakan kedai percetakan ditutup akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Kebetulan saya dan rakan juga ada tugasan berkaitan dengan keusahawanan. Jadi kami pun ambil keputusan buat perkhidmatan percetakan. Pada waktu itu kami hanya guna alat percetakan peribadi di bilik sahaja.
"Untuk cari pelanggan, kami biasanya berhubung melalui WhatsApp dan Telegram. Mereka buat pesanan dan kita hantar ke bilik asrama mereka," katanya yang juga pelajar jurusan kejuruteraan elektronik kepada Majoriti.
Lie Xin berkata, pada waktu itu, mereka boleh mendapat pendapatan mencecah RM1,300 dalam tempoh satu setengah bulan selepas menjalankan perkhidmatan tersebut.
Bagaimanapun, dengan peningkatan permintaan, mereka kemudiannya berdepan kekangan masa untuk menyelesaikan tempahan yang dibuat oleh pelanggan mereka secara manual.
Dari kiri: Lie Xin, Fikri dan Iqmal merupakan tulang belakang kepada Uninet Technology.
Bermula daripada situ, dia dibantu dengan rakan kongsinya yang mempunyai kemahiran membuat perisian mengambil inisiatif untuk membina satu aplikasi dan sistem yang disambungkan bersama mesin percetakan layan diri.
Selain mengurangkan keperluan tenaga kerja, langkah tersebut dilihat turut memudahkan pelanggan mengakses perkhidmatan mereka pada bila-bila masa dengan hanya pergi ke mesin percetakan yang diletakkan di lokasi terbuka di dalam universiti.
"Bermula pada September 2023, kami letakkan satu mesin di satu tempat di dalam UTM. Pelajar boleh guna mesin itu bila-bila masa termasuk waktu tengah malam.
"Mereka hanya perlu muat naik aplikasi, kena tambah nilai, muat naik fail, imbas kod QR dekat mesin dan terus mesin itu akan cetak bahan yang mereka mahu," ujarnya.
Pada waktu ini, Uninet Technology terdiri daripada Lie Xin sebagai COO, Fikri Akmal (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Iqmal Aizat (Ketua Pegawai Teknologi).
Fikri dan Iqmal masing-masing merupakan pelajar daripada fakulti pengkomputeran.
Menurut Lie Xin, mereka kini beroperasi hanya dengan satu bengkel untuk menguruskan mesin, tanpa sebarang pejabat mahupun kedai.
Pada waktu ini, menurutnya, mereka sudah mempunyai dua mesin cetak yang diletakkan di tempat berbeza di dalam kawasan UTM, Skudai.
Dalam pada itu, Lie Xin berkata, modal awal untuk membeli mesin terbabit sekitar RM5,000 diperolehi daripada dana diperuntukkan menerusi program UTM Center for Student Innovation & Technology Entrepreneurship (UTM XCITE).
Dalam pada itu, Lie Xin mengakui dia ada berdepan cabaran untuk membahagikan masa antara menguruskan syarikat di samping memberikan komitmen kepada pembelajaran.
"Sebab kita kena sediakan sendiri maksudnya daripada beli barang mesin cetak hingga bangunkan sistem. Kemudian kadang-kadang ada kena sertai atau acara untuk promosikan kita punya produk.
"Jadi kadang-kadang itu ada waktu memang stres sikit untuk urus masa. Tapi bagi saya ia masih terkawal," katanya yang bakal bergraduasi pada tahun ini.
Lie Xin berkata, walaupun pendapatan yang diperolehi syarikatnya masih belum mencukupi bagi mengembalikan modal dikeluarkan, dia masih optimis untuk mengembangkan lagi perkhidmatan mesin cetaknya di lokasi lain.
Malah menurutnya, mereka kini turut mendapat permintaan untuk meletakkan satu mesin cetak syarikatnya di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor yang dirancang dilaksana pada Disember ini.
"Jadi sekarang ini kita sedang cuba untuk gunakan sistem ini di luar UTM dan meneliti pasaran yang boleh kita ada peluang untuk masuk.
"Jadi kita rancang untuk operasikan sehingga lebih dua ratus mesin cetak kita bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Johor, tetapi juga di seluruh negara," katanya yang menyatakan akan menumpukan perhatian kepada Uninet Technology buat masa ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram