Perginya Ratan Tata, hartawan India tak pernah masuk senarai individu terkaya


  • Bizz
  • Selasa, 15 Okt 2024

Ratan Tata dilahirkan pada 28 Disember 1937, di Mumbai atau dulu dikenali sebagai Bombay semasa India masih di bawah pemerintahan British. — Agensi

PADA Rabu lalu, India dikejutkan dengan berita pemergian tokoh korporat berpengaruh di negara tersebut, Ratan Tata yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun.

Ratan yang merupakan individu yang bertanggungjawab mentransformasikan Kumpulan Tata, yang merupakan konglomerat perniagaan keluarganya menjadi sebuah syarikat multinasional dengan jenama dikenali di peringkat global.

Sepanjang 21 tahun sebagai pengerusi dan ketua eksekutif bermula dari 1991 hingga 2012, keuntungan Kumpulan Tata meningkat 50 kali ganda dengan kebanyakan pendapatan datang daripada jualan luar negara produk Tata yang terkenal seperti kenderaan Jaguar dan Land Rover serta teh Tetley.

Walaupun konglomerat itu mempunyai capaian antarabangsa, impak dibawa syarikat tersebut di negara India meningkat jauh lebih signifikan di bawah kepimpinan Ratan.

Bagi rakyat India di kelas pendapatan pertengahan, hampir mustahil untuk menjalani hari tanpa membeli barangan dan perkhidmatan Tata.

Produknya meliputi daripada teh, internet, stesen televisyen, teksi, kereta peribadi hingga kepada pelbagai lagi barangan lain yang diperbuat daripada besi keluli yang dikeluarkan syarikat tersebut.

1583480099353

Ratan menjadi pengerusi dan ketua eksekutif Kumpulan Tata bermula dari 1991 hingga 2012. — Agensi

Nilai dan hasil perniagaan yang dimiliki Kumpulan Tata di India bagaimanapun akhirnya diatasi oleh sebuah kumpulan perniagaan keluarga lain di negara tersebut sekitar 2010.

Namun, di sebalik perkembangan tersebut, pengaruh dan penghormatan yang diberikan rakyat India terhadap Ratan langsung tidak pernah berkurang.

Ini kerana beliau cukup popular kerana mengagihkan sebahagian besar kekayaannya untuk aktiviti kebajikan dan termasuk membuat pelaburan terhadap perniagaan pemula diusahakan usahawan muda yang kurang mendapat tempat.

Ratan lebih dikenali sebagai individu yang tidak suka untuk menjadi tumpuan dan mempunyai imej suka menyendiri yang pemalu serta seorang lelaki yang tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak.

Latar belakang keluarga

Ratan Tata dilahirkan pada 28 Disember 1937, di Mumbai atau dulu dikenali sebagai Bombay semasa negara terbabit masih di bawah pemerintahan British.

Keluarganya tergolong dalam komuniti etnik Parsi yang nenek moyangnya datang ke India sejak berabad-abad lamanya untuk mendapatkan perlindungan selepas melarikan diri akibat konflik agama.

Keluarga Tata memiliki kekayaan mereka dalam aktiviti perdagangan candu abad ke-19 dengan China dan pembuatan tekstil.

Ketika bapa Ratan, iaitu Naval Tata, naik menjadi timbalan pengerusi perniagaan keluarga, Kumpulan Tata telah bertapak dalam banyak perusahaan pembuatan dan komersial.

Naval Tata berkahwin dengan sepupunya, Sooni Tata, tetapi mereka berpisah ketika Ratan dan adiknya, Jimmy, masih kanak-kanak.

Kedua-dua budak lelaki itu dibesarkan dan diambil sebagai anak angkat oleh nenek mereka yang kaya raya.

"Saya mempunyai zaman kanak-kanak yang bahagia, tetapi apabila saya dan abang saya semakin dewasa, kami mula berdepan kesan daripada penceraian ibu bapa kami, yang pada masa itu adalah sesuatu yang tidak biasa seperti hari ini," ujar Tata dalam satu temu bual pada 2020.

ratan_tata_throwback_660_230120033543

Ratan dibesarkan oleh neneknya selepas kedua ibu bapanya bercerai. — Agensi

Beliau dibesarkan di sebuah bangunan di Mumbai yang dikenali sebagai Istana Tata, dengan kakitangan seramai 50 orang.

Ratan juga dihantar ke sekolah dengan menaiki Rolls-Royce sebelum kemudiannya dihantar ke Amerika Syarikat untuk sekolah menengah di Riverdale Country School di New York City.

Beliau lulus dari Universiti Cornell dengan ijazah seni bina dan kemudiannya mengambil kursus pengurusan di Harvard Business School.

Ratan mengekalkan kehidupan sosial yang jauh daripada gemerlapan populariti.

Beliau menumpukan banyak masa lapangnya untuk memandu kereta lumba, menerbangkan kapal terbang dan berlumba bot lajunya keluar dari pelabuhan berhampiran apartmen yang dimilikinya di Mumbai.

Ratan menyertai perniagaan keluarga pada 1962 dengan bermula di kedai Tata Steel sebelum meningkat naik ke jawatan pengurusan.

Pada 1991, J.R.D. Tata meletak jawatan selepas setengah abad memegang jawatan Pengerusi Tata Sons dan Kumpulan Tata dan menyerahkan kepimpinan konglomerat itu kepada Ratan yang datang daripada jalur kekeluargaan lain dalam keluarga Tata.

Hartawan terkenal yang tidak pernah masuk senarai teratas orang terkaya di India

6082390787921919502

Ratan bergambar bersama Tata Nano yang merupakan kereta termurah di dunia pada 2008. — Agensi

Semasa menerajui empayar tersebut, Ratan mengambil peluang daripada gelombang semangat nasionalis yang cuba melawan bekas negara jajahannya dengan mengambil alih syarikat dan jenama berpangkalan di British seperti Jaguar, Tetley dan Corus Steel.

"Britain telah menjadi hab 'insourcing' (penyumberdalaman) untuk Ratan Tata: pangkalan bagi operasi perniagaan multinasional India," tulis The Guardian dalam artikel 2008.

Dalam satu lagi langkah popular, Ratan menerajui pengeluaran Tata Nano pada 2008, iaitu kereta termurah di dunia, dengan harga $2,200 (RM9,447) bagi membolehkan pemilikan kenderaan pengguna daripada pendapatan kelas pertengahan di India.

Ratan kemudiannya melepaskan fungsi eksekutifnya dalam Kumpulan Tata pada 2012 ketika berusia 75 tahun.

Di sebalik penguasaan empayar perniagaannya yang dimilikinya, beliau tidak pernah disenaraikan sebagai antara individu terkaya di India.

Pada 2024, nilai kekayaan Ratan dianggarkan berjumlah AS$456 juta (RM1.96 bilion) yang sebahagian besarnya datang daripada pegangannya dalam Tata Sons, pelaburan dalam syarikat pemula dan penglibatan berterusannya dalam kerja kebajikan.

Menurut laporan, dianggarkan 60 peratus daripada pendapatan yang diperolehi Tata Sons diguna untuk tujuan aktiviti amal.

Di India, beliau menggunakan kekayaan untuk pendidikan, kesihatan dan projek pertanian kepada penduduk India termiskin.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, beliau dan Tata Trusts menyumbang jutaan dolar kepada beberapa universiti — termasuk alma maternya Cornell University dan Harvard Business School untuk kemudahan penyelidikan dan program biasiswa.

Untuk rekod, Ratan menyokong lebih daripada 50 syarikat pemula di India, termasuk e-dagang dan platform pembayaran digital serta peruncit pakaian dalam talian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram