KETIKA menjalani latihan industri di sebuah pusat automotif di Kulim, Kedah sekitar Mac 2022, Mohamad Arif Zainol mendapat idea untuk mencuba mula menjual kek kepada rakan sekerjanya.
Pada waktu itu, motivasinya melakukan perkara tersebut hanyalah sekadar suka-suka memandangkan dia turut meminati dunia masakan dan bakeri sejak di bangku sekolah
Di samping itu, keinginan untuk mendapatkan sedikit duit tambahan untuk menampung perbelanjaan harian juga menjadi dorongan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Langkah berkenaan dibuat dengan berbekalkan bantuan dan resipi kek butter perisa asli daripada ibunya yang dihasilkan dari dapur rumah.
"Waktu itu bulan puasa. Jadi saya cakap dekat mak nak cuba jual kek. Saya tanya, susah ke nak buat kek. Mak cakap tak susah pun.
"Jadi saya pun fikir kenapa tidak," katanya kepada Majoriti.
Pada awalnya, Mohammad Arif, 25, yang juga Pengasas Umi Kitchen. Co berkata, dia hanya menyasarkan menjual sekitar 30 biji kek.
Sasaran itu dengan mengambil kira tempoh ketika itu yang cuma tinggal dua minggu sebelum Hari Raya.
Mak Umi Kitchen kini turut mempunyai tiga perisa utama termasuk kek butter coklat dan oren.
Namun jangkaan terbabit ternyata meleset apabila dia mendapat respons cukup positif daripada rakan sekerjanya.
"Saya punya sasaran dalam 20 sahaja. Tapi Alhamdulillah rezeki dapat jual hampir 100 biji kek dengan hanya satu jenis perisa sahaja," ujar anak kelahiran Alor Setar itu.
Berbekalkan pengalaman tersebut, ia memberi keyakinan terhadap Mohammad Arif terhadap potensi perniagaan jualan keknya.
Disebabkan itu, sebaik menyelesaikan pengajian ijazah Automotif Teknologi daripada Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), dia mengambil keputusan untuk lebih serius menjalankan aktiviti tersebut bermula Februari tahun ini dengan berbekalkan modal permulaan RM5,000.
Dengan beroperasi dari rumah, Mohammad Arif berkata, dia dengan dibantu ibunya yang juga seorang suri rumah menghasilkan sebanyak hampir 30 kek sehari dengan jualan sepenuhnya dibuat secara dalam talian.
Permintaan terhadap keknya juga menunjukkan petanda yang baik khususnya termasuk sepanjang bulan puasa yang menyaksikan mereka menghasilkan sebanyak 300 biji kek.
Selain itu, penyertaannya dalam satu acara di Alor Setar sekitar Mei juga menyaksikan kek butter mereka mendapat sambutan dan maklum balas cukup daripada pengunjung.
Mula buka dapur
Mohammad Arif ketika bekerja di dapur pusat yang terletak di Alor Setar.
Di sebalik permintaan yang tinggi daripada pelanggannya, Mohammad Arif berkata, dia pada ketika itu berdepan dengan kapasiti pengeluaran yang terhad.
Ini kerana operasi penghasilan yang dilakukan di dapur rumahnya hanya melibatkan dia dan ibunya sebagai pekerja.
Ekoran daripada itu, anak bongsu kepada lima orang beradik itu mengambil keputusan bagi menyewa sebuah lot kedai di Alor Setar, Kedah menjadi dapur pusat khusus buat pengeluaran keknya bermula Julai lalu.
Dapur berkenaan yang beroperasi dengan tiga orang staf turut dilengkapi dengan kemudahan alat pemanas dan sebuah mesin industri yang dipinjam daripada rakannya.
"Dengan ada dapur pusat ini, dia punya pengeluaran kek dah meningkat lima kali ganda berbanding ketika di rumah. Kalau dulu sehari dalam 30 kek, sekarang maksimum 150," katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Arif berkata, kek yang ditawarkan juga kini semakin bertambah dengan dua lagi perisa tambahan selain butter asli, butter oren dan butter coklat.
Menurutnya, antara keunikan produk kek keluarannya adalah penggunaan bahan berkualiti yang 100 peratus premium dan dijamin halal.
Ia juga tersedia dengan beberapa kategori saiz dan harga yang berpatutan.
Sementara itu, Mohammad Arif mengakui dia turut berdepan cabaran untuk menguruskan perniagaan terbabit memandangkan ia sama sekali berbeza dengan bidang pendidikan yang diambilnya di universiti.
"Kalau dulu saya pegang spanar, sekarang saya pegang senduk. Dulu kita baiki, diagnose kenderaan dan kemudian perlu terangkan kepada pelanggan.
"Tapi sekarang ini kita yang menanti maklum balas daripada pelanggan. Nak tahu rasa ok atau tak sebab tak setiap hari kita punya kek rasa akan sama.
"Kadang-kadang ada 'human error'. Tapi Alhamdulillah setakat ini maklum balas yang kita dapat daripada pelanggan semua baik," ujarnya.
Dapur pusat yang dibangunkan Mohammad Arif boleh menghasilkan maksimum 150 kek sehari.
Mengulas mengenai kemungkinan jualan kek diusahakannya itu adalah hanya sekadar bermusim, Mohammad Arif mengakui perkara tersebut sememangnya sudah difikirkan ketika dia baru mengambil keputusan untuk lebih serius.
"Tapi saya rasa dengan apa dengan berkat doa ibu, ayah, keluarga, kawan-kawan, Insya-ALLAH saya yakin dengan produk kami. Sebab produk kami ni orang cakap tak ditelan zaman.
"Sebab kek butter ini kek tradisional. Kalau kek manisan lain mungkin ada yang bermusim, tapi kalau kek tradisional ini memang orang cari dan makan sekian lama.
"Kemudian tengok ulasan pun cakap kek butter perisa asli ini payah nak cari," ujarnya.
Bergerak ke hadapan, Mohammad Arif berkata, dia yang kini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian merancang untuk mewujudkan kira-kira seramai 200 ejen jualan keknya di setiap negeri menjelang akhir tahun ini.
Selain itu, dia juga memiliki pelan membuka kilang untuk penghasilan kek dalam tempoh beberapa tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram