SEORANG wanita yang mendakwa dirinya terpaksa bekerja sebagai perempuan simpanan bagi melangsaikan hutang bapa dengan sindiket pinjaman wang akan dihadapkan ke mahkamah di Pulau Pinang pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, wanita berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret George Town.
"Pertuduhan kes video tular di laman media sosial TikTok itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
BACA LAGI: Dari halang barang kontraban ke dunia bola, CEO PDRM FC pernah dihimpit, terima ugutan penyeludup
“Tindakan tidak bertanggungjawab wanita terbabit mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan tular video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi enam minit 45 saat memaparkan perbualan hos audio siar dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.
Melalui siaran langsung berkenaan, wanita itu mendakwa bapanya yang bercerai dengan ibu, terdahulu berhutang RM20,000 dengan along dan gagal melunaskannya.
Dia kemudian mendakwa dipaksa bekerja dengan along terbabit sejak Februari lalu di sebuah ‘rumah merah’ di Pulau Pinang sebagai perempuan simpanan tanpa diberi gaji serta mohon diselamatkan.
Siasatan polis mendapati, dakwaan itu tidak benar dan tidak pernah berlaku, malah wanita berkenaan mengakui ia direka sekadar bagi meluahkan perasaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram