Kanak-kanak, wanita antara lebih 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat komersial GISB Rawang


  • 112
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Lebih daripada 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dalam satu serbuan di pusat perniagaan GISBH Bandar Country Homes dekat Rawang, Selangor.

LEBIH daripada 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dalam satu serbuan di pusat perniagaan Global Ikhwan Services and Business (GISBH) Bandar Country Homes dekat Rawang, Selangor dalam serbuan Op Global pada Sabtu.

Difahamkan, kesemua mereka terdiri daripada wanita, remaja dan kanak-kanak berusia sekitar tujuh tahun sehingga 50-an.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

Mereka ditemui dalam premis perniagaan dan kediaman di pusat perniagaan yang dimiliki GISBH semasa serbuan dijalankan Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Simpanan Persekutuan (PSP) turut dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bermula kira-kira pukul 6.30 pagi.

Susulan pemeriksaan, mereka dibawa menaiki enam van ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk proses dokumentasi.

Serbuan dilakukan terhadap puluhan lot premis perniagaan seperti restoran, kedai dobi, kedai pencetakan, poliklinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik dan galeri disyaki milik GISBH.

Dalam operasi sama, pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan dimiliki GISBH yang didapati tidak berlesen.

Polis telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan dan telah membekukan 96 akaun bank melibatkan GISB dengan dana RM581,552.

Selain di Bandar Country Homes, Op Global turut dijalankan di seluruh negara oleh Polis Kontinjen Bukit Aman dan Polis Kontinjen Negeri.

Pada Khamis, 19 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif GISB, isterinya dan ahli keluarga lain, ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 5.40 pagi berikutan serbuan ke atas empat unit kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur

Dalam serbuan itu, seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman sehingga Rabu depan.

Dalam perkembangan berbeza, pada Rabu, polis merekodkan keterangan 740 individu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas GISB.

Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka, dan polis telah membekukan 96 akaun bank melibatkan GISB dengan dana RM581,552.

Pada 11 September lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat dengan nama kod Ops Global.

Terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak itu didera, dieksploitasi dan diserang secara seksual.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama.— The Star/Farik Zolkepli

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram