SETIAP individu pastinya mengalami fasa di atas dan bawah dalam menjalani liku-liku kehidupan.
Kita juga tidak pernah sesekali tahu tibanya waktu akan berdepan dengan fasa-fasa tersebut.
Rentetan itu, pentingnya untuk menghargai jasa atau kebaikan seseorang yang pernah hadir menghulurkan pertolongan terutamanya ketika dilanda kesusahan.
BACA LAGI: Pustakawan patut dianggap barisan hadapan, anak jati Tenom teroka ragam, kelebihan perpustakaan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta
Setiap manusia akan berdepan dengan situasi senang dan susah dalam hidup. — Gambar hiasan/Agensi
Ini boleh dipelajari daripada kisah seorang lelaki dan bekas majikannya di Indonesia baru-baru ini.
Menerusi video tular di media sosial sejak 6 Oktober lalu, detik pertemuan tersebut menarik perhatian ramai apabila lelaki berkenaan bertindak membeli barangan dijual oleh bekas majikannya yang kini berstatus penjaja.
Lebih mengejutkan apabila lelaki itu sudah 12 tahun tidak bersua muka dengan bekas majikannya.
Ia sekali gus mengimbau kembali sewaktu dia berada di fasa tersebut dan berdepan dengan situasi sama.
Bercerita serba sedikit tentang kisahnya, pemilik video yang menggunakan akaun TikTok @ncepbillal_gematv itu ternyata pernah bekerja sebagai penjaja menjual aksesori gajet di tepi jalan.
Pada ketika itu, bekas majikannya menjadi antara individu yang menyokong dengan membeli barangan jualannya.
Lelaki tersebut kemudiannya mengambil keputusan untuk membeli beberapa aksesori sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa baik terhadap bekas majikannya.
Dalam video sama, ekspresi wajah mereka dapat menggambarkan betapa bermaknanya momen tersebut setelah sekian lama tidak berjumpa.
Video itu bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga menjadi peringatan buat masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia tentang nilai-nilai persahabatan dan sokongan orang sekeliling dalam hidup.
Tindakan kecil sedemikian juga boleh menunjukkan contoh positif kepada orang ramai terutamanya generasi muda sekarang untuk lebih memupuk sikap hormat-menghormati sesama manusia.
Selain menyemai nilai-nilai baik, ia pada masa sama dapat menjadi sumber inspirasi dan semangat kepada individu yang menghadapi fasa sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram