Majikan perlu sedia waktu mencukupi pekerja solat Jumaat atau berdepan tindakan — Exco Johor


  • Primer
  • Selasa, 08 Okt 2024

Ting Han berkata, salah satu hasil utama perbincangan terhadap pelaksanaan itu termasuk memastikan pekerja beragama Islam diberi masa dan ruang mencukupi menunaikan solat Jumaat.

KEPUTUSAN mengubah hari hujung minggu kepada Sabtu-Ahad daripada Jumaat-Sabtu semasa dibuat untuk meningkatkan keseimbangan hidup dan menambah produktiviti secara keseluruhan, kata Exco Johor, Lee Ting Han.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia berkata, salah satu hasil utama perbincangan terhadap pelaksanaan itu termasuk memastikan pekerja beragama Islam diberi masa dan ruang mencukupi menunaikan solat Jumaat.

Beliau memberi amaran bahawa kilang-kilang dan pemain industri yang gagal mematuhi mungkin dikenakan tindakan lanjut.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Langkah itu berikutan beberapa siri tinjauan dan sesi penglibatan pihak berkepentingan yang dijalankan sebelum keputusan ini diperkenalkan.

“Dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Johor, kami akan bekerjasama rapat dengan pemain industri untuk memastikan arahan itu dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor pada Selasa.

6064418312588213639

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peralihan ke hujung minggu Sabtu-Ahad akan memberi kesan kepada kira-kira 2.5 juta orang di seluruh negeri, termasuk 587,343 pelajar sekolah.

Ujarnya, 1.94 juta daripada tenaga kerja tersebut terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta.

"Selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerajaan negeri dan saya akan meneliti perubahan itu daripada semua aspek," katanya sambil menyatakan bahawa mereka juga akan mempertimbangkan kesesuaian masa untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Onn Hafiz menambah bahawa penjajaran hujung minggu itu akan mengurangkan konflik penjadualan antara kerajaan dan sektor swasta.

“Perubahan ini juga akan membolehkan keluarga meluangkan lebih banyak masa bersama dan meningkatkan aktiviti ekonomi rentas sempadan,” tambahnya.

Pada Isnin, Pemangku Sultan Johor membuat pengumuman rasmi bahawa mulai 1 Januari tahun depan, Johor akan kembali ke hujung minggu Sabtu-Ahad, menamatkan tempoh 11 tahun pelaksanaan hujung minggu Jumaat dan Sabtu yang ditetapkan sebagai hari cuti rasmi sejak 2014. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram