Elak hilang punca rezeki, AADK masuk komuniti selamatkan ketua keluarga


  • Primer
  • Khamis, 05 Sep 2024

Azmi menjelaskan pihak AADK tidak pernah 'pilih bulu' dalam membantu klien.

PUSAT Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) antara 'rumah perlindungan' yang sering dikaitkan dengan penagih dadah apabila mereka ingin mendapatkan rawatan bagi mengelak terus terjerumus dalam najis dadah.

Orang ramai bagaimanapun tidak mengetahui bahawa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) juga menyediakan perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) bagi memudahkan klien yang ketagihannya kurang kritikal.

RPDK membuktikan komitmen AADK dalam menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang komprehensif dan berkualiti kepada klien, ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.

BACA LAGI: Sesi luah perasaan berkumpulan di tempat kerja mampu atasi tekanan mental — Pakar Psikologi

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustapa menjelaskan bahawa program RPDK membantu klien yang menjadi tonggak keluarga untuk terus mencari nafkah dan pada masa sama menjalani rawatan masalah ketagihan.

"Kita beri peluang kedua dengan sertai Puspen tapi kalau majikan susah nak beri cuti, kita cadang masukkan mereka dalam program pemulihan dalam komuniti.

"Menerusi RPDK, penagih dalam kalangan ketua keluarga boleh tinggal bersama isteri dan anak-anak, selain terus bekerja. Kalau di Puspen, kapasiti bawah 10,000 tapi di komuniti lagi ramai. Selalunya ketua keluarga akan memilih pemulihan dalam komuniti..

"Kategori klien RPDK akan hadir program secara berkala dan setiap minggu akan lapor diri kepada AADK daerah, hadiri sesi kaunseling. Ia tidak memaksa tapi membantu," katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.

WhatsApp Image 2024-09-04 at 16.07.46

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustapa.

Menurut AADK, perkhidmatan RPDK disediakan di 42 pusat khidmat, termasuk Pusat Integrasi Masyarakat dan 108 Pejabat AADK Daerah yang telah dijenamakan semula sebagai Pejabat AADK Daerah dan Pusat Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di seluruh negara.

Setakat Julai 2024, AADK telah memberi perkhidmatan RPDK kepada kira-kira 85 ke 90 peratus orang dari jumlah keseluruhan klien dan hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang dimasukkan ke Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) setiap tahun.

Pada tahun 2021, 2022 dan 2023, masing-masing seramai 73,113, 64,335 dan 65,372 orang klien telah mendapat perkhidmatan dalam komuniti dan hanya 7,133, 8,594 dan 9,517 orang klien menjalani rawatan dalam institusi.

Dalam pada itu, Azmi menjelaskan pihak AADK tidak pernah 'pilih bulu' dalam membantu klien, malahan status atau latar belakang juga sesuatu yang diambil kira dalam menjalankan tugas pemulihan.

"Khidmat nasihat juga disediakan kaunselor AADK melalui bilik gerakan 24 jam, selain khidmat Tele Hello," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram