Pustakawan patut dianggap barisan hadapan, anak jati Tenom teroka ragam, kelebihan perpustakaan


  • Massa
  • Ahad, 13 Okt 2024

Charles (kanan) yang berkhidmat dan berpengalaman dalam bidang kepustakawanan selama 22 tahun.

DALAM arus perkembangan teknologi maklumat yang kini semakin pesat, peranan pustakawan sebenarnya masih relevan bagi membantu masyarakat mengakses sumber ilmu dengan lebih mudah dan sistmatik.

Bercerita tentang tugas pustakawan, kerjaya itu bukan lagi sekadar penjaga buku di perpustakaan, malah menjadi penghubung antara maklumat dan masyarakat di era digital ini.

Selain menguruskan bahan bacaan, pustakawan juga membantu pengguna mencari maklumat sahih dan berautoriti dengan kemudahan disediakan di perpustakaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat

6062295520707198611

Tugas pustakawan juga boleh dikategorikan sebagai kumpulan barisan hadapan.

Berhasrat mahu menghapuskan stigma masyarakat terhadap tugas pustakawan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA) di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Charles Brilee mengambil peluang berkongsi pandangannya sebagai individu terlibat dalam bidang tersebut selama lebih 22 tahun.

Menurut Charles, pustakawan boleh dikategorikan sebagai kumpulan di barisan hadapan yang perlu berhubung dan mengendalikan pengguna daripada pelbagai latar belakang di perpustakaan.

Berkongsi sedikit tentang pengalamannya sejak 2008 lagi, Charles berkata, terdapat pelbagai karenah pengguna yang datang ke perpustakaan tidak kira warga tempatan atau palancong.

Katanya, setiap daripada mereka mempunyai karakter berbeza dan pastinya ia merupakan antara cabaran terbesar buat seorang pustakawan sepertinya.

4153608135

Pelbagai latar belakang pengguna perpustakaan yang perlu dihadapi setiap hari. — Gambar hiasan/Agensi

"Jadi, ada karenah-karenah yang saya dapat lihat daripada pelbagai jenis latar belakang atau tujuan pengguna datang ke perpustakaan.

"Kebanyakannya, ramai yang datang untuk menggunakan kemudahan-kemudahan disediakan sebab ia percuma.

"Contohnya, membaca surat khabar di perpustakaan lebih selesa dan percuma sahaja," katanya kepada Majoriti.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dalam Pusat Sumber Sekolah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata, meskipun pustakawan bukanlah kerjaya yang diidamkan namun, ia mula membuka matanya apabila melihat jurang perbezaan kemudahan tersebut di kawasan rumahnya dengan tempat lain.

Anak kelahiran Tenom, Sabah itu berkata, galakkan untuk menggunakan kemudahan perpustakaan sudah dimulakan sejak di bangku sekolah lagi kerana berdepan kesukaran mencari bahan rujukan dan bacaan di kawasan rumahnya.

6062295520707198608

Memanfaatkan kemudahan di perpustakaan antara cara mudah untuk menimba ilmu atau mencari bahan rujukan.

Tambahan pula, Charles masih berada di zaman 90-an yang teknologinya masih belum berkembang serta tidak mudah untuk mendapatkan rangkaian internet.

Justeru, selain pusat sumber sekolah, beliau sentiasa diterapkan untuk pergi ke perpustakaan daerah atau perpustakaan awam cawangan Tenom walaupun agak jauh dengan rumahnya.

"Perpustakaan itulah menjadi sumber saya menimba ilmu, dapatkan bahan-bahan rujukan dan membaca. Zaman dahulu, kita tahu nak beli bahan bacaan itu bukanlah mudah.

"Jadi, bila baca di perpustakaan dengan pelbagai jenis buku, itu yang mungkin mendidik saya untuk terus memanfaatkan kemudahan ini dalam kehidupan saya sejak peringkat sekolah hingga universiti.

"Perpustakaanlah jadi tempat saya ulang kaji dan belajar. Mungkin sehingga kini saya ditakdirkan untuk berada dalam dunia kepustakawanan ini," jelasnya.

6062295520707198609

Charles menggalakkan budaya membaca tidak kira di perpustakaan mahupun di rumah.

Disebabkan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat bukan sahaja memupuk amalan membaca, tetapi tidak mensia-siakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Charles pada masa sama menggalakkan para ibu bapa bersama-sama menerapkan budaya membaca bermula di rumah dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja.

Ia juga selari dengan usaha kerajaan bagi membantu meningkatkan indeks membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022 dan 2023 yang dijalankan oleh PNM mendapati peningkatan ketara iaitu dari dua naskhah buku setahun pada 2005, 15 naskhah setahun pada 2014.

Kajian itu turut merekodkan rakyat Malaysia membeli satu hingga lima naskhah bahan bacaan dengan 69.9 peratus individu membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram