Selepas lebih 40 tahun, kilang susu lembu ikonik Dutch Lady Petaling Jaya kini berpindah ke tempat baharu


  • Bizz
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Ramjeet berkata, Daisy dan Maya menjadi sangat sinonim dengan kilang milik syarikatnya di Petaling Jaya.

PATUNG ikonik lembu dan anaknya yang terletak di kilang pembuatan susu di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor kini akan mengucapkan selamat tinggal kepada warga Petaling Jaya, Selangor pada Ahad ini.

Kedua-dua mercu tanda dikenali sebagai Daisy dan Maya itu akan dipindahkan ke kilang baharu Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) yang berkeluasan 13 hektar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk menambah baik operasi dengan fasiliti baharu itu memiliki keluasan tiga kali ganda lebih besar daripada premis asal.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, kompleks kilang baharu itu direka bentuk dan dilengkapi untuk memenuhi permintaan pengeluaran yang semakin meningkat dan sejajar dengan matlamat operasi mampan syarikatnya.

Katanya, dengan langkah tersebut, DLMI turut memutuskan membawa Daisy dan Maya bersama kerana melihat kepada sinonimnya kedua-dua patung ikonik terbabit dengan kilang asal.

Dutch Lady Milk Industries Bhd managing director Ramjeet Kaur Virik— ART CHEN/The Star

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik.

“Kedua-dua patung ini siap dibina pada 1969 hasil kerja daripada artis Australia bernama Betty Chen yang berpangkalan di Malaysia ketika itu.

“Ia telah siap dan dipasang di luar kilang pada April 1970.

"Sejak itu, tempat tersebut terus menjadi tempat bergambar yang menarik untuk penduduk tempatan dan kumpulan pelawat kilang," tambahnya.

Dalam pada itu, Ramjeet berkata, DLMI turut berjaya mengesan Chen yang kini berusia 91 tahun dan sedang menetap di Australia.

"Dengan bantuan anak perempuannya, kami meminta nasihat Chen tentang cara mengalih keluar, mengangkut dan memasang semula kedua-dua patung itu dengan selamat di kilang baharu," tambahnya.

Mengulas mengenai sejarah DLMI, Ramjeet berkata, syarikat pengeluaran produl tenusu itu diperbadankan pada 1963 sebagai Industri Susu Pasifik.

“Kilang di Petaling Jaya adalah yang pertama kami, siap pada 1966 untuk mengeluarkan produk awal kami, susu pekat manis.

"Kami berkembang untuk menghasilkan pelbagai produk susu seperti susu cair dan susu serbuk formula bayi serta turut menghentikan pengeluaran susu pekat manis," katanya.

Beliau berkata, kemajuan perniagaannya yang dicapai menyebabkan kilang terbabit kini beroperasi dengan kapasiti yang terhad.

“Selain itu, kawasan ini yang sebelum ini merupakan zon perindustrian telah ditetapkan semula untuk kegunaan komersial dan kediaman,” ujarnya.

Ramjeet berkata, kilang di Bandar Enstek yang dibuka pada Mei lalu telah mengambil alih operasi secara beransur-ansur, dengan semua operasi dipindahkan sepenuhnya pada Ogos.

"Sesetengah kakitangan telah memutuskan untuk berpindah bersama kami dan kami teruja dengan masa depan di tempat baharu itu," katanya.

Dua daripada kakitangan terbabit ialah pengurus logistik, Jamaludin Abu Samah dari Shah Alam, dan juruteknik makmal Mohd Zabidi Bahazim dari Ara Damansara.

Dutch Lady Milk Industries Bhd Managing Director Ramjeet Kaur Virik.  — ART CHEN/The Star

Fasiliti DLMI di Bandar Enstek memiliki keluasan tiga kali ganda lebih besar berbanding premis asal di Petaling Jaya.

Jamaludin, 59, berkata, dia menyertai kilang itu sebagai pekerja am pada usia 18 tahun dan terus maju dalm kerjayanya di situ.

“Saya suka pekerjaan saya dan tidak pernah terfikir untuk mencari pilihan lain.

“Sekarang saya hampir bersara, sudah menjadi lumrah bagi saya untuk menamatkan kerjaya saya di syarikat tempat ia bermula dan tempat saya tinggal selama lebih empat dekad,” katanya.

Mohd Zabidi, 54, yang bermula sebagai pekerja am berusia 20 tahun berkata, kemajuan pekerjaan yang dikecapinya membuatkan dia terus kekal.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kilang itu adalah sebahagian daripada sejarah penting pembangunan bandar Petaling Jaya.

“Alangkah baiknya jika pemilik baharu mengekalkan sebahagian daripada bangunan asal untuk mengingatkan orang ramai tentang legasinya,” katanya.

Penduduk lama Petaling Jaya dan bekas pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 14 Selva Sugumaran berkata, perkembangan itu agak menyedihkan kerana kilang tersebut sudah menjadi simbol identiti utama Petaling Jaya.

"Mereka yang paling terkesan dengan pemindahan kilang adalah perniagaan makanan berskala kecil yang telah menyediakan perkhidmatan terhadap kakitangan kilang selama beberapa dekad," katanya. — The Star/VIJENTHI NAIR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram