TINDAKAN sekumpulan warga asing melintas secara beramai-ramai sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya mengundang kemarahan seorang penunggang motosikal dalam satu video yang tular sejak Khamis.
Menerusi klip berdurasi 13 saat itu, sekumpulan pekerja warga asing yang memakai uniform berwarna biru dipercayai pekerja kilang dilihat sedang cuba melintas secara berkumpulan di sebuah jalan raya meskipun terdapat sebuah motosikal yang sedang melalui jalan raya tersebut.
Perbuatan berkenaan menimbulkan kemarahan penunggang motosikal tersebut yang didapati meneruskan perjalanan menyebabkan beberapa orang daripada pekerja terbabit mengundur bagi mengelak daripada dilanggar.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Pada masa sama, penunggang motosikal berkenaan yang memakai helmet berwarna merah dilihat turut cuba menendang ke arah kumpulan pekerja terbabit dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka yang membahayakan pengguna jalan raya.
Penunggang itu bagaimanapun kemudiannya meneruskan perjalanan dan tidak berhenti.
Berdasarkan video tersebut, tiada tanda kemudahan lintasan pejalan kaki terdapat di jalan raya terbabit.
"Nasib baik tak makan penyepak," tulis akaun laman X yang memuat naik klip berkenaan.
Lokasi dan waktu sebenar kejadian tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram