TENGKU Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al- Sultan Abdullah selamat diijab kabul dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dalam majlis penuh istiadat di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada pukul 8.48 malam, Khamis.
Akad pernikahan itu berlangsung dengan diwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam Majlis Istiadat Perkahwinan Putera Diraja.
Dalam majlis tersebut, kedua-dua mempelai mengenakan busana pakaian berwarna putih.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula dilihat mengenakan sepersalinan sedondon berwarna hijau.
Sementara itu, istiadat perkahwinan akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat dan Istiadat Persandingan Diraja yang akan dilangsungkan dua hari kemudian.
Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober nanti.
Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4 petang dengan Tunku Azizah dijangka menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin dan kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Bersiram.
Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan.
Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.
Bagi mengakhiri semua istiadat, pengantin lelaki akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bacaan doa oleh mufti.
Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan yang mana pelbagai acara menarik disediakan di kedua-dua lokasi sepanjang Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram