SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kajian mendalam dilakukan mengenai cerun agar kejadian tanah runtuh tidak berulang.
Menerusi satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda menegaskan pentingnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) membuat tinjauan dan kajian terperinci supaya ada satu penilaian khusus terutama di kawasan yang padat dengan penduduk.
"Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutamanya di tempat sama. Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya," titah baginda pada Isnin.
BACA LAGI: Sultan Pahang perkenan keputusan GISB sesat jika teruskan amalan al-Arqam
Sultan Pahang bertitah demikian ketika mencemar duli menziarahi Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands, Pahang yang kemudian dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Pada 7 Oktober lalu, seramai 70 penduduk daripada 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari selepas kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur.
Dalam acara sama, baginda juga sempat menghulurkan bantuan kepada semua wakil keluarga yang terlibat dalam kejadian selain mengingatkan orang ramai supaya peka akan keadaan sekeliling, terutamanya ketika musim hujan.
"Saya harap semua mangsa bersabar, kejadian ini bukanlah kehendak kita tapi semuanya dari ALLAH. Terima kasih kepada semua agensi terlibat, masuk kali keempat kawasan ini (Sungai Ruil) terlibat dengan tanah runtuh.
"Kita tidak boleh lari daripada masalah cerun dan tanah runtuh ini kerana ia adalah kejadian semula jadi, namun ia bukan hanya berlaku di Pahang tetapi juga di tempat lain seperti di Selangor baru-baru ini," tulisnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram