[VIDEO] Pura-pura 'riki' lokasi, peragut menyamar rider makanan larikan loket RM3,000 milik wanita malang di Seri Kembangan


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Peragut yang berjaket hijau sempat melarikan loket milik mangsa yang merupakan wanita berusia 37 tahun di Seri Kembangan pada Selasa.

SEORANG wanita mengalami kerugian kira-kira RM3,000 selepas loket miliknya diragut seorang penjenayah yang dilihat menyamar sebagai seorang penghantar makanan di Seri Kembangan, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai buah-buahan sekitar Taman Universiti Indah pada kira-kira pukul 1 petang.

"Sebuah video kejadian sudah tular di media sosial. Kami sedang dalam usaha mengenal pasti suspek," katanya menerusi kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura langgar kereta, suspek hanya sempat ragut setengah rantai emas lelaki di Setia Alam

BACA LAGI: Polis gerak unit skuba forensik, K9 cari rantai, telefon pintar Nur Farah Kartini

Menurutnya, mangsa yang merupakan wanita berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan sambil menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Dia turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Terdahulu, dalam sebuah video tular berdurasi 51 saat, insiden ragut itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua penunggang motosikal berpakaian penghantar makanan mengelilingi kawasan berkenaan.

Salah seorang daripadanya yang memakai pakaian berwarna hijau kemudian bertindak memarkir motosikalnya dan mendekati mangsa sementara rakannya menunggu berhampiran.

Suspek kemudian merampas loket milik mangsa yang kemudian menjerit meminta bantuan orang ramai yang berada berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram