[VIDEO] Pura-pura langgar kereta, suspek hanya sempat ragut setengah rantai emas lelaki di Setia Alam


  • 112
  • Selasa, 01 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan suspek menarik rantai leher mangsa dalam kejadian di Setia Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

SUSPEK terlibat dalam kejadian meragut rantai leher emas seorang lelaki di Setia Alam, Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 6.14 petang Sabtu.

Mohd Iqbal berkata, suspek dipercayai menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berpura-pura melanggar kereta mangsa jenis Mercedes Benz di kawasan parkir.

BACA LAGI: Suspek kes rasuah bakal jalani ujian poligraf — SPRM

BACA LAGI: [VIDEO] Katanya berang ditegur merokok dalam kedai makan, lelaki naik angin pecahkan cawan kopi di Seremban Jaya

Suspek kemudiannya menarik rantai leher mangsa yang merupakan jurujual kereta berusia 29 tahun ketika sedang memeriksa kerosakan pada kenderaannya.

"Bagaimanapun, suspek hanya berjaya melarikan separuh rantai leher kerana sempat ditarik semula oleh mangsa.

"Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM1,500 dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, perbuatan suspek itu turut dirakam kamera papan pemuka dashcam milik kenderaan mangsa dan tular di media sosial.

Mohd Iqbal pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya tidak mudah terpedaya semasa berada di jalan raya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dana mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Shatish di talian 010-5643645," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram