Kejayaan diri dapat perhatian PM Anwar, kekurangan tidak halang Normaladiana bantu keluarga tambah pendapatan


  • Bizz
  • Rabu, 23 Okt 2024

Normaladiana (kiri) mula menyertai IPR menerusi Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) sejak Mei tahun lalu.

SEWAKTU mula menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Normaladiana Mohd Yazal, 37, yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal tidak pernah sama sekali menyangka usahanya menambah pendapatan keluarga akan mendapat perhatian meluas di seluruh negara.

Apatah lagi sekiranya inisiatif dijalankan itu menerima perhatian daripada pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ucapan Belanjawan 2025 yang diadakan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, nama Normaladiana disebutkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Dengan bersaksikan jutaan rakyat Malaysia yang menontonnya di hadapan kaca televisyen, Normaladiana disifatkan sebagai contoh antara peserta berjaya di bawah program IPR yang dijalankan Kementerian Ekonomi untuk menambah pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia sememangnya tidak menyangka bahawa namanya akan disebut dan mengakui terharu dengan penghargaan tersebut.

"Memang sangat terharu sebab kita ini OKU, tapi PM sebut nama saya mengenai IPR itu. Itu buat saya rasa sangat dihargai," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, perkara tersebut turut mendapat perhatian Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang berkongsikan mengenainya di laman X.

F9ZuVmfbwAAukYn

Antara hidangan yang disediakan Normaladiana.

"Normaladiana baru sahaja disebut Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025. Orang yang rajin, walau apa kekangan kita, Allah permudahkan urusan kita," tulisnya.

Normaladiana Mohd Yazal, 37, berkata, pada awalnya, dia mula berniaga makanan secara kecil-kecilan dari rumah untuk membantu suaminya, Hairul Affendi Ramli bagi menambahkan pendapatan keluarga ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Ibu kepada dua cahaya mata terbabit berkata, keluarganya pada waktu itu turut berdepan tekanan kewangan selepas suaminya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan diberhentikan kerja.

"Jadi timbul idea untuk mula jual sandwic. Masa itu mula-mula hanya jual dekat keluarga dan kawan-kawan di Facebook," katanya.

Normaladiana berkata, sebelum itu, beliau langsung tidak pernah bekerja kerana berdepan dengan kekangan akibat kecacatan fizikal dialaminya sejak kecil yang membataskan pergerakannya.

F4u39tCaEAAjoCu

Mesin layan diri jualan makanan di bawah inisiatif IPR menempatkan hidangan yang disediakan Normaladiana. — Twitter

Selepas dua tahun, dia kemudiannya berpeluang menyertai program IPR pada bulan Mei tahun lalu untuk membolehkannya menjual makanan menerusi mesin jualan makanan layan diri disediakan bermula dengan sandwic, spageti, air dan snek.

Pada awal penglibatannya di bawah program tersebut, Normaladiana mengakui bahawa dia berdepan dengan cabaran untuk membiasakan diri bagi menyediakan hidangan yang perlu dihantar seawal pukul 6 pagi di KL Sentral.

"Mula-mula itu memang macam susah sikit. Kadang memang tak sempat tidur malam sebab nak siapkan hidangan. Tapi sekarang dah lebih terbiasa dengan komitmen yang diberikan," katanya yang menyediakan kira-kira sebanyak 20 bungkusan bagi setiap tiga menu hidangan diletakkan.

Kini di bawah program IPR, Normaladiana mengusahakan mesin layan diri makanan yang diletakkan di Blok D Kolej Kediaman ke-12 Universiti Malaya (UM).

Menurutnya, menerusi inisiatif tersebut, pendapatan sampingan keluarganya mula meningkat antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Normaladiana berkata, sejak menyertai inisiatif tersebut, dia kini juga mula mendapat tempahan makanan sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada hari bekerja bagi acara diadakan sekitar Kuala Lumpur.

460942202_8415805855124994_4438227459080102989_n

Normaladiana turut mempunyai kemahiran membuat kek. — Facebook

"Biasanya ada pejabat yang nak buat acara yang memerlukan hidangan sarapan pagi atau minum petang," ujarnya yang mempunyai dua orang anak masing-masing berusia 11 dan 14 tahun.

Pada waktu hujung minggu pula, Normaladiana berkata, dia yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi turut mula mengambil tempahan masakan barat seperti chicken chop dan fish and chip di kawasan kejiranannya.

Sementara itu, dengan perkembangan tersebut, dia turut menyimpan hasrat untuk membuka kedai makan dengan menjual hidangan signaturnya antaranya sandwic dan juga aneka hidangan masakan barat.

Anwar dalam ucapan Belanjawan 2025 pada Jumaat mengumumkan sebanyak RM250 juta diperuntukkan meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram