Bukan sekadar terbangkan pesawat, juruterbang bomba bertarung antara elemen alam dan takdir di angkasa


  • 112
  • Ahad, 20 Okt 2024

Faizal berkata, memainkan peranan sebagai juruterbang bukanlah tugas yang senang dan merupakan satu tanggungjawab yang besar. 

DALAM kesunyian di ruang angkasa, di sebalik deruman enjin helikopter Agusta 109 E (A109E) yang meluncur di udara, ada figura yang sentiasa siap siaga memerhati keadaan sekeliling.

Timbalan Penguasa Bomba 11, Mohd Faizal Abd Latiff berkata, memainkan peranan sebagai juruterbang bukanlah tugas yang mudah, malahan ia tanggungjawab yang besar.

"Menjadi juruterbang bomba bukan hanya sekadar menerbangkan pesawat. Setiap saat di udara bukan sekadar rutin biasa.

BACA LAGI: 'Hanya terbayang wajah keluarga tersayang', Hasli trauma imbau tragedi helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah

BACA LAGI: [VIDEO] Kecil-kecil sudah resap semangat tentera, anak jati Johor Bahru jadi watak penting BlackParade Tactics

"Setiap kali saya terbang, ada nyawa yang bergantung kepada keputusan saya. Ketika di udara, tiada ruang untuk melakukan kesilapan," katanya kepada Majoriti.

photo_2024-10-13_23-28-32

Timbalan Penguasa Bomba 11, Mohd Faizal Abd Latiff

Sesekali, Faizal merenung jauh ke angkasa yang seolah-olah menyimpan 1,001 cerita.

Ceritanya, setiap kali dia mengemudi jentera Agusta A1-09E atau helikopter Mi-17 dan Mi-171, dia tahu berat tanggungjawabnya kerana setiap keputusan boleh menentukan hidup atau mati mereka yang memerlukan pertolongan.

Tambah juruterbang berpengalaman dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpangkalan di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang di Selangor yang telah berkhidmat selama 18 tahun mempertaruhkan nyawanya di awan tinggi untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia.

Namun, di sebalik setiap cabaran yang dihadapinya, tidak pernah terdetik di hatinya untuk berpindah ke unit lain dalam JBPM.

"Setiap misi adalah unik kerana setiap cabaran membawa saya lebih dekat untuk memahami erti pengorbanan dan khidmat untuk negara," tambahnya.

462291925_1022587786546937_8865056209357917203_n

Walaupun belum pernah bertugas di luar negara, Faizal merasakan khidmat di tanah air sudah cukup mencabar.

Antara misi yang paling mencabar bagi Faizal adalah ketika negara dilanda banjir besar beberapa tahun yang lalu.

Bersama beberapa pasukannya yang lain, beliau diarah memulihkan sistem komunikasi yang terputus di kawasan Gunung Telapak Buruk, Negeri Sembilan.

"Kami terbang dalam cuaca buruk dan keadaan visibiliti rendah, pada masa sama perlu memastikan peralatan komunikasi dapat dibawa ke puncak. Ia penting agar bantuan kecemasan dapat diselaraskan dengan betul,” katanya mengenang pengalaman itu yang masih segar dalam ingatannya.

Walaupun belum pernah bertugas di luar negara, Faizal merasakan memberi khidmat di tanah air sudah cukup mencabar.

"Setiap misi yang saya sertai di Malaysia, terutamanya di kawasan bencana adalah sesuatu yang saya banggakan.

"Peranan ini lebih dari sekadar penerbangan, ia tentang menyelamatkan nyawa, menghubungkan kembali negara, dan memastikan keselamatan rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya dengan nada penuh kesyukuran.

Selagi ada kudrat, juruterbang berjiwa waja ini akan terus bertarung dengan elemen alam dan takdir dari angkasa.

Buat Faizal, setiap penerbangan bukanlah sekadar tugas biasa kerana ia adalah misi yang mendekatkannya kepada erti sebenar pengorbanan demi negara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram