'Jangan sesekali gentar', Veteran Skuad 69 serah amanat kepada generasi muda terutamanya anak Sabah


  • 112
  • Rabu, 30 Okt 2024

Abdul Aziz (Depan tiga dari kanan) berkata, perlu ada kesinambungan bagi memastikan negara kita ini kekal bebas dan keselamatan serta ketenteraman itu tidak tergugat seperti dahulu. — Facebook Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Pdrm Malaysia

DI tengah-tengah gelora sejarah yang sarat dengan pengorbanan dan perjuangan, berdirilah anggota-anggota veteran Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai barisan pertama mempertahankan kedaulatan tanah air.

Dengan jiwa yang penuh semangat patriotisme dan semangat juang yang tak pernah luntur, mereka telah melangkah gagah di medan tempur, memastikan keamanan negara terus terjaga.

Kini, di usia senja, mereka menyeru kepada generasi muda untuk tidak membiarkan perjuangan tersebut terhenti.

BACA LAGI: Usul subsidi khas untuk pesara polis mulakan bisnes antara harapan Belanjawan 2025

BACA LAGI: Mek Yun 'pulang ke sarang', terharu nama bapa diabadikan kerana jasa selama 41 tahun dalam ATM

Sebagaimana disuarakan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM, Datuk Abdul Aziz Bakar, tanggungjawab mempertahankan negara harus terus disemai, dihayati, dan diteruskan oleh setiap generasi, agar bumi Malaysia kekal bebas dan aman selamanya.

"Perlu ada kesinambungan bagi memastikan negara kita ini kekal bebas dan keselamatan serta ketenteraman itu tidak tergugat seperti dahulu.

"Sehubungan itu, generasi muda perlu meneruskan pertahankan negara.

"Ini amanat kami semua untuk disampaikan kepada generasi muda, juga kepada pegawai polis dan anggota keselamatan generasi kini teruskan usaha ini untuk menjaga negara kita, jangan sekali-kali gentar,” katanya.

462315390_929911402504643_7031348818709489337_n

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM, Datuk Abdul Aziz Bakar

Abdul Aziz, 76, berkata, banyak perbezaan Sabah pada masa kini dan ketika beliau bertugas di negeri ini sekitar 1970-an.

Walaupun ketika itu berdepan dengan pelbagai kekurangan, namun ia tidak mematahkan semangatnya bersama rakan-rakan untuk menjaga keselamatan Sabah.

"Kami wira tidak didendang dan kami lakukan dengan sepenuh hati kerana kami tahu ini penting untuk generasi muda terutama anak Sabah sekarang.

"Melihat apa kami korbankan dulu, kami bersyukur Sabah ketika ini, banyak berbeza pembangunan dan kehidupan rakyatnya,” katanya yang bertugas selama 35 tahun bersama PDRM.

Jelas beliau lagi, merdeka mempunyai pelbagai makna antaranya bebas daripada penjajahan, namun baginya merdeka telah memberi banyak peluang kepada rakyat di Sabah dan seluruh negara untuk memajukan diri mereka serta negara.

"Peluang ini bukan mudah kami dapatkan untuk generasi muda sekarang terutama peluang pendidikan, jadi jangan sia-siakan apa yang kami usahakan ini," katanya yang berasal dari Pahang.

Sementara itu, timbalan presiden persatuan itu, Datuk Alias Abdul Rahman, 75, menasihatkan golongan muda sekarang agar jangan terlalu bangga dengan negara luar kerana Malaysia telah membantu dan memberi peluang kepada mereka sejak mereka lahir lagi.

"Duduk di negara luar tidak sama dengan duduk di Malaysia, di sini kita ada kebebasan apa kita nak semua ada, Malaysia ini terlalu istimewa kepada rakyatnya dan kita tidak akan dapat apa yang Malaysia berikan di negara luar, jadi sayangi Malaysia ini,” katanya yang bertugas selama 36 tahun bersama PDRM.

Veteran Skuad 69 PDRM, Saperi Abdul Karim pula berkata, perjuangan mempertahankan negara kini bukan hanya kepada mengangkat senjata sebaliknya juga perlu membina diri menjadi insan yang berguna dalam memajukan negara.

"Dahulu perjuangan kami menentang pengganas komunis, di Sabah kami pertahankan serangan musuh tetapi perjuangan yang diteruskan generasi muda sekarang sedikit berubah dari segi aspek membantu bangunkan Sabah dan Malaysia sendiri," katanya yang berkhidmat selama 38 tahun.

Saperi, 73, dari Sarawak berkata, hanya generasi muda negara kini yang menjadi harapan beliau serta rakan-rakannya untuk meneruskan perjuangan mempertahankan negara dan perjuangan itu perlu diteruskan demi memberikan kehidupan lebih baik untuk generasi seterusnya.

Seorang lagi veteran Skuad 69 PDRM, Ramli Othman, 74, dari Pulau Pinang berkata, golongan muda diminta menghargai jasa generasi terdahulu yang mempertahankan negara kerana tanpa perjuangan mereka, tiada peluang serta kenikmatan yang diperoleh pada masa kini.

"Tiada sesiapa yang boleh kita harap hanya kepada orang muda sekarang kita letak sepenuh harapan untuk jaga Malaysia,” katanya yang berkhidmat selama 37 tahun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram