KEMENTERIAN Pengangkutan tidak akan mengkaji semula pelaksanaan cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital yang dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.
Menterinya, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak akan berpatah balik serta tidak akan kaji semula pelaksanaan cukai jalan dan LMM secara digital walaupun terdapat permintaan beberapa pihak terutama pengguna.
"Selain itu, pengguna masih boleh cetak cukai jalan digital ini jika terdapat keperluan termasuk mematuhi peraturan negara jiran seperti Thailand. Tiada masalah," katanya pada Rabu.
Anthony berkata demikian selepas menjawab pertanyaan sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar cukai jalan digital setelah melaksanakannya tahun lalu.
Sebelum ini, ada dalam kalangan pengguna telah menyuarakan pendapat di media sosial mengenai pihak berkuasa di selatan Thailand yang mewajibkan mereka mengemukakan salinan cukai jalan dan lesen memandu fizikal sebelum memasuki negara jiran tersebut. — The Star/ YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram