SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melantik panel perunding bagi mengkaji serta menilai kewajaran melakukan pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak perunding akan mengambil masa lapan hingga 12 bulan untuk menyediakan laporan berhubung kemungkinan pindaan tersebut agar selaras dengan perubahan semasa dalam industri pos dan kurier.
Fahmi berkata, kementerian dan SKMM komited memastikan perkhidmatan tersebut menjalani pembaharuan yang diperlukan selaras dengan perkembangan moden, di samping menekankan kepentingan menambah baik perkhidmatan pelanggan dan menangani segera isu yang dihadapi pengguna.
Fahmi menegaskan bahawa penggunaan teknologi AI tidak menjejaskan pekerjaan industri tersebut. — The Star
Katanya, pihak perunding juga akan menjalankan analisis menyeluruh terhadap sektor syarikat pos dengan mengambil kira perkembangan terkini seperti media sosial dan perdagangan sosial kerana banyak aspek penghantaran bungkusan kini melibatkan elemen moden.
"Jika semuanya berjalan lancar, kita mungkin melihat pindaan seawal 2026.
"Saya percaya kita boleh mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja untuk menjadikan pekerjaan lebih cekap dan pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya pada Rabu.
Fahmi turut menggalakkan semua syarikat penghantaran dan logistik memanfaatkan teknologi seperti kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan kecekapan operasi.
"Saya tidak nampak keperluan untuk memberhentikan pekerja dengan menggunakan AI, sebaliknya tenaga kerja boleh disesuaikan dengan peranan baharu seperti penganalisis data," katanya sambil menekankan bahawa teknologi itu tidak mungkin menggantikan tenaga manusia tetapi sebaliknya akan mengubah skop dan sifat pekerjaan.
Fahmi sebelum ini mengumumkan bahawa Pos Malaysia akan menerima sebanyak 1,112 motosikal elektrik (e-bike) dan 347 van elektrik (e-van) secara berperingkat bermula Oktober 2024 hingga Januari 2025 yang selari dengan matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan pembangunan mapan.
Beliau berkata, Pos Malaysia juga mengambil langkah penting ke arah kemapanan dengan 200 e-bike dan 143 e-van sudah beroperasi di Semenanjung Malaysia, manakala 16 kemudahannya dilengkapi panel solar fotovoltaik (PV) dan enam stesen pengecas EV dipasang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram