Wanita mengamuk di stesen minyak Saujana Utama didenda RM5,500


Tangkap layar video memaparkan wanita tersebut didakwa cuba memukul orang awam menggunakan kayu yang diambil dari dalam keretanya.

WANITA yang melakukan ugutan jenayah dan menyerang seorang lelaki dengan sebatang buluh di sebuah stesen minyak dekat Bandar Hill Park, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada 17 Oktober lalu kini dihadapkan ke mahkamah.

Memetik laporan Buletin TV3, tertuduh, Elyna Muhamad, 42, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tiga pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah, berkelakuan aib di tempat awam dan berkelakuan tidak sopan di dalam balai polis.

Dalam prosiding itu, Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM5,500 selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

BACA LAGI: Wanita 'saka' mengamuk di stesen minyak Saujana Utama didenda RM5,500

BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat wanita 'saka' mengamuk serang guna buluh di Saujana Utama

Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada lima anak itu melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap penyelia stesen minyak, Shakir Zuhayri Zairul Rizal, 24, di sebuah stesen minyak di Pusat Perdagangan Hillpark.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berkelakuan aib di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu ketenteraman, juga di lokasi dan waktu yang sama.

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga pula Elyna didakwa berkelakuan tidak sopan di dalam Balai Polis Saujana Utama pukul 1.45 pagi pada 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, wanita terbabit cuba menyerang pelanggan dengan menggunakan sebatang buluh tetapi berjaya dihalang oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

Tindakan agresif wanita berkenaan tular di media sosial apabila kejadian tersebut sempat dirakam individu yang berada di lokasi kejadian.

Susulan itu, wanita berkenaan dipercayai mengalami masalah mental selain ada juga yang mendakwa bahawa dia memiliki saka dalam badan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram