TINDAKAN seorang wanita yang didakwa mengamuk di sebuah stesen minyak dekat Bandar Hill Park, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor mendatangkan kebimbangan dalam kalangan warga setempat.
Kejadian tersebut sempat dirakam individu yang berada di lokasi kejadian sebelum dimuat naik menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Berdasarkan hantaran tersebut, wanita yang berpakaian serba hitam itu pada awalnya dikatakan telah meletakkan kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam yang dipandunya secara berlapis (double park).
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga remaja 17 tahun cuba lari pemeriksaan polis di Rawang tiada lesen memandu
BACA LAGI: [VIDEO] Mengamuk tak tentu pasal, polis tahan 3 lelaki tibai pekerja serbaneka di Bentong
Tindakan itu bagaimanapun menyukarkan pemandu kenderaan lain untuk keluar dari kawasan parkir tersebut.
Selepas diminta mengalihkan keretanya, dia hanya memaklumkan bahawa pemandunya akan berbuat demikian.
"Kakak ini yang pernah tular lawan arus dan bawa laju itu. Hari ini dia buat hal dekat depan stesen minyak.
"Dia double park kereta orang, (apabila) orang tersebut nak keluar, katanya nanti pemandunya alihkan kete (tapi dialah pemandunya).
"Apabila pemilik kereta yang dihalang datang, dia (wanita tersebut) tidak mahu berundur pula. Lepas itu buat hal dengan semua orang," katanya.
Wanita itu juga mengamuk sebelum didakwa cuba untuk memukul si perakam menggunakan kayu yang diambil dari dalam keretanya.
"Saya lari dia kejar. Saya muat naik (rakaman ) ini sebab takut keselamatan saya dan orang awam (terancam). Saya hanya rakam kejadian sebagai bukti yang dia memang mengganggu orang," maklumnya.
Difahamkan, itu bukan kejadian pertama melibatkan wanita tersebut selepas warga maya turut berkongsi beberapa insiden lain yang menunjukkan dia berkelakuan kurang sopan di hadapan khalayak.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, wanita berkenaan dipercayai mengalami masalah mental selain ada juga yang mendakwa bahawa dia memiliki saka dalam badan.
"Suaminya kata, mereka sudah enam kali pindah. Janganlah marah dan hina melulu, kasihan dia.
"Jika nampak terus minta tolong atau maklumkan kepada keluarga juga (supaya kita) dapat buat sesuatu untuk keselamatan bersama," tulis seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Wafiy Nabilah Nizam.
Sementara itu, menurut Suriani Bt Haris, kelakuan wanita itu juga sudah tular dalam grup Whatsapp penduduk sekitar, yang mendakwa dia sememangnya mempunyai masalah kesihatan.
"Kakak ini memang ada masalah kesihatan (buatan orang/kena sihir). Memang dah tular pasal dia sekarang. Kita doa yang baik-baik sahaja untuknya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram