[VIDEO] Polis siasat wanita 'saka' mengamuk serang guna buluh di Saujana Utama


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Tangkap layar memaparkan wanita tersebut didakwa membuat kekecohan di sebuah stesen minyak dekat Bandar Hill Park, Saujana Utama.

KELAKUAN seorang wanita yang melakukan ugutan jenayah dan menyerang seorang lelaki dengan sebatang buluh di sebuah stesen minyak dekat Bandar Hill Park, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada Khamis kini sedang disiasat oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, Balai Polis Saujana Utama menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 24 tahun sebagai penyelia stesen minyak itu dalam pukul 10.36 pada Khamis.

Menurutnya, pengadu menyatakan sekitar pukul 7.50 malam pada Khamis, sebuah kereta dipandu wanita terbabit meletakkan kenderaannya di belakang kenderan yang lain hingga menyebabkan pemilik kenderaan terbabit tidak boleh keluar.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan kali pertama, wanita mengamuk di stesen minyak Saujana Utama disyaki ada saka dalam badan

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga remaja 17 tahun cuba lari pemeriksaan polis di Rawang tiada lesen memandu

“Pada masa yang sama terdapat pelanggan lain yang berada di tempat itu meminta wanita terbabit mengalihkan kenderaannya tetapi telah dimarahi.

“Akibat daripada kejadian itu berlaku kekecohan di stesen minyak terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Hafiz berkata, wanita terbabit difahamkan cuba menyerang pelanggan dengan menggunakan sebatang buluh tetapi berjaya dihalang oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

“Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaandan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Aruneswaari Arumugam di talian 012-6972996,” katanya.

Sebelum ini, tindakan agresif wanita berkenaan tular di media sosial apabila kejadian tersebut sempat dirakam individu yang berada di lokasi kejadian sebelum dimuat naik menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Berdasarkan komen di media sosial, kesihatan wanita terbabit kurang mengizinkan, selain didakwa memiliki saka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram