Suhakam gesa kerajaan mansuhkan hukuman sebat susulan kes kematian banduan di Pokok Sena


  • Primer
  • Selasa, 22 Okt 2024

Suhakam menggesa agar pihak kerajaan memansuhkan hukuman sebatan terhadap banduan di penjara. — Gambar hiasan

KERAJAAN digesa untuk memansuhkan segala bentuk hukuman melibatkan penderaan berikutan kes kematian seorang banduan di penjara Pokok Sena, Kedah sebelum ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, pihaknya menyatakan kebimbangan apabila mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas disebat.

"Suhakam secara tegas menentang semua bentuk hukuman korporat termasuk sebatan kerana ia melanggar hak asasi manusia dan maruah manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: Wanita mengamuk di stesen minyak Saujana Utama didenda RM5,500

BACA LAGI: Pegawai khas MB Kedah nafi kasari peniaga pasar malam, datang sekadar nak berbincang

Menurutnya, kemudaratan fizikal dan psikologi yang teruk disebabkan hukuman tersebut adalah bercanggahan dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa seperti ditetapkan oleh Perkara 5 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Suhakam juga menyeru kerajaan untuk segera memansuhkan semua bentuk terbabit termasuk yang termaktub dalam Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Penjara dan perundangan berkaitan.

Suhakam turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh, bebas dan telus terhadap keadaan sekitar kes kematian di penjara terlibat demi memastikan mereka yang bertanggungjawab tidak terlepas.

"Kami akan terus memantau kes itu dengan teliti dan melibatkan pihak berkuasa berkaitan untuk mendesak pembaharuan yang sejajar dengan piawaian antarabangsa," tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan banduan berkenaan dikenakan penjara selama 33 tahun berserta 12 sebatan selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia dan hukumannya disemak semula pada 10 September lalu.

Suhakam juga mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang banduan yang didakwa berlaku selepas menjalani hukuman sebatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram