TIDAK terkira nilai yang dihabiskan untuk merawat dan membesarkan anak istimewa seperti penghidap palsi serebrum atau cerebral palsy (CP).
Berkongsi pengalaman sama, Mohd Radi Faissal Mohd Rosdi, 43, bersyukur dikurniakan seorang anak syurganya, Muhammad Riyadh Irfan, 16.
Meskipun terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan sepenuhnya perhatian kepada Muhammad Riyadh atau mesra dipanggil sebagai Iki, Mohd Radi tetap percaya bahawa ia adalah keputusan yang tepat.
BACA LAGI: Platform santai sambil belajar, guru sanggup habis lebih RM7,000 sertai pengakap udara
BACA LAGI: [VIDEO] Usaha kecil tapi impak besar, ramai doakan ‘Abang Bas’ tolong buang air banjir
Mohd Radi (tengah) bersama Iki (kanan) dan anak bongsunya (kiri).
Kelainan Iki itu sekali gus memberi inspirasi kepadanya dan isteri, Norfazilawati Abdul wahab, 43, untuk menjalankan perniagaan yang bukan sahaja dapat menyara keluarganya, malah membantu komuniti yang mengalami situasi serupa.
Mohd Radi yang pernah bekerja dalam sektor kerajaan selama 13 tahun itu membuat keputusan sedemikian selepas mendapati pusat asuhan anaknya tidak dapat memberi perhatian sewajarnya.
"Saya keluarkan wang RM1,500 sebulan untuk penjagaan Iki tetapi saya sedar tiada siapa yang lebih memahami keperluan dia selain kami.
"Abang Iki juga perlu pelbagai peralatan sokongan seperti kerusi roda, tempat mandi khas dan alat bantuan lain untuk jalani kehidupan seharian.
"Tambah pula Iki penghidap palsi serebrum jenis quadriplegia tahap empat dan sukar kawal pergerakan tubuh," katanya kepada Majoriti.
Keluarga kecil Mohd Radi.
Justeru, Mohd Radi mengambil keputusan untuk menjadikan perniagaannya sebagai sumber pendapatan sambil dapat memberikan perhatian penuh terhadap anak sulungnya.
Bermula dengan menjual lapik dada kain atau bib sekitar 2009, dia dan isteri kini meluaskan produk jualannya dengan meghasilkan bantal sokongan badan, kerusi roda dan beberapa alat bantuan khusus buat kanak-kanak CP.
Katanya, lapik dada merupakan produk pertama yang dijual secara dalam talian dan ia dihasilkan dengan menggunakan kepakaran menjahit isterinya.
Iki terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
"Kenapa bib jadi produk pertama adalah disebabkan abang Iki. Sebelum ini, kami selalu beli tuala kecil untuk bersihkan mukanya sebab air liur dia kadang-kadang meleleh keluar.
"Tetapi bila bawa ke mana-mana selalu pula tertinggal dan jenis kain cepat basah. Jadi, daripada situ kami dapat idea untuk hasilkan bib sendiri dengan jenis kain berkualiti tinggi dan cepat kering.
"Kalau guna kain biasa, dia mudah berbau dan saya tak nak nampak anak saya comot," katanya.
Perniagaan yang dijalankan secara dalam talian dan di majlis tertentu.
Mohd Radi pada masa sama tidak menafikan terdapat juga cabaran dalam menjaga anak CP yang tidak boleh berjalan dengan dua orang lagi anak kecil, Muhammad Raif Hayqal, 10 dan Rifhaana Nuha, 4.
Baginya, kesabaran antara perkara paling sukar untuk dilakukan buatnya dan isteri sepanjang merawat Iki.
Menurutnya, Iki juga mempunyai emosi tidak menentu dan ia sekali gus membuatkan mereka mengutamakan anak istimewanya itu dalam segala perkara bersama dua lagi anaknya.
"Macam hubungan dia dengan adik-beradik pula memang tiada masalah. Mereka sangat memahami bila lihat saya dan isteri uruskan abangnya.
"Apa yang saya buat pada Iki, itu yang mereka buat pada abangnya. Saya juga biasanya akan ajar kepentingan keperluan dan cara mandi, pakaikan baju, letak Iki di kerusi roda dan ketika waktu tidur.
"Jadi, di sini saya memang akan libatkan dua lagi anak saya bila uruskan atau buat aktiviti dengan Iki supaya mereka tak rasa terpinggir," jelasnya.
Melalui usaha itu, dia berharap dapat menyokong bukan sahaja keluarganya, tetapi juga mereka yang berada dalam situasi yang sama.
Kisahnya secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada orang ramai dan menunjukkan bahawa cinta dan dedikasi seorang bapa mampu mengubah kehidupan bukan sahaja bagi anaknya, tetapi juga bagi masyarakat di sekelilingnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram