Pegawai khas MB Kedah nafi kasari peniaga pasar malam, datang sekadar nak berbincang


  • Primer
  • Selasa, 22 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan suasana kecoh yang berlaku di perkarangan parkir di tapak pasar malam Jalan Pegawai, Kedah pada Ahad lalu.

PEGAWAI Khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad menafikan bahawa beliau bertindak mengasari beberapa peniaga di tapak pasar malam di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Ia susulan video tular di media sosial pada Isnin yang memaparkan suasana kecoh di perkarangan parkir kenderaan di lokasi tersebut.

Salmy atau lebih dikenali sebagai Cikgu Anas itu juga menjelaskan kehadirannya kira-kira pukul 11.30 malam itu adalah bertujuan untuk meninjau masalah melibatkan peniaga di tapak pasar malam tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga Alor Setar buat repot polis, dakwa dikasari pegawai khas MB Kedah

BACA LAGI: [VIDEO] Tanah kering-kontang di Afrika pun boleh subur, alternatif FMNR jadi pertimbangan selain IPR-Intan

Menurutnya, beliau hanya mahu berbincang masalah terbabit dengan seorang ketua peniaga yang dikenali sebagai Syukor.

Bagaimanapun, Salmy menukar fikiran dan menolak untuk meneruskan perbincangan itu selepas mendapati Presiden Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar yang turut hadir.

"Apabila saya sampai, saya lihat Sarjakhan ada bersama Syukor. Saya memaklumkan saya tidak dapat berbincang dengan Syukor pada masa itu kerana kehadiran Sarjakhan untuk elak isu politik.

"Saya kemudian cuba masuk ke dalam kereta, namun Sarjakhan menjerit berkali-kali memanggil saya turun sambil merakam video.

"Saya beritahu dia untuk hentikan video dan kita bincang, saya segera turun menghadap dia bertanya apa masalah dia dan dia mengajak saya berbincang di tempat lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, Sarjakhan cuba melanggar dan memaksanya bergerak ke tempat lain selepas beliau enggan berbincang sehingga membuatkannya hampir terjatuh.

Akibat daripada itu Sarjakhan tiba-tiba berlakon seperti disakiti kerana bersentuhan bahu.

"Dia terus menjerit memanggil peniaga lain mendakwa saya lakukan kekasaran. Saya kemudian masuk ke dalam kereta dan mengajak Syukor masuk untuk bercakap di dalam kereta. Ketika itu peniaga lain datang menyerbu saya," jelasnya.

Tambahnya, Cikgu Anas dan Syukor sempat berbincang hingga pukul 12.40 tengah malam sebelum beredar dari tapak pasar malam itu.

Sebelum ini, tular video memaparkan beberapa peniaga yang dilihat tidak berpuas hati apabila didakwa dikasari oleh pegawai khas Menteri Besar Kedah pada Ahad lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram