[VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik


  • 112
  • Selasa, 15 Okt 2024

Mangsa (kiri) maut dipercayai dibaham harimau dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Kelantan pada Selasa.

SEORANG lelaki maut dipercayai dibaham harimau dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Kelantan pada Selasa.

Mayat lelaki warga tempatan berusia 54 tahun itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi yang didiaminya bersama isteri warga Thailand.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian serangan harimau itu dipercayai berlaku antara pukul 5 ke 6 pagi ketika mangsa yang juga operator pengendali jentera berat di kawasan tersebut sedang pergi ke tandas.

BACA LAGI: 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI: 'Hanya terbayang wajah isteri dan anak', Hasli trauma imbau tragedi helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah

Katanya, isteri mangsa mendakwa telah terdengar bunyi ngauman harimau dan sebaik sahaja pintu rumah kongsi tersebut dibuka, dia melihat suaminya diseret haiwan liar itu ke arah semak.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bersia dibantu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik serta 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan telah berjaya menemukan mangsa sekitar pukul 12 tengah hari dengan kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu mendapati mangsa telah pun meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram