SEEKOR harimau belang yang dipercayai menyerang seorang lelaki di Gerik dan warga Myanmar di Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Memetik laporan berita Harian Metro, tangkapan haiwan ganas tersebut disahkan Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff.
Katanya, maklumat lanjut berkaitan tangkapan itu akan dikongsikan dalam masa terdekat.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik
"Ya, dapat (masuk perangkap) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah Perhilitan Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut,” katanya pada Sabtu.
Terdahulu, Yusoff berkata, Perhilitan Perak dan Kelantan bekerjasama bagi memasang perangkap di lokasi di kenal pasti bagi menangkap harimau yang disyaki membaham mangsa.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang kedua-dua mangsa adalah haiwan sama berikutan lokasi dua kejadian itu terletak berhampiran kira-kira empat kilometer (KM) melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang berlaku dalam tempoh terdekat.
Majoriti sebelum ini melaporkan dua kejadian diserang harimau di kawasan Gerik dan Batu Melintang.
Pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli pada awal pagi Selasa lalu.
Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik, Khamis lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram