Integrasikan dengan ladang kelapa sawit, antara 3 strategi baharu tingkat bekalan daging lembu negara


  • Bizz
  • Sabtu, 19 Okt 2024

85.3 peratus daripada daging lembu dan kerbau yang dibekalkan di Malaysia terpaksa diimport. — Gambar hiasan

PADA 2005, jumlah bekalan daging lembu dan kerbau di Malaysia adalah sebanyak 138,980 tan metrik.

Menjelang 2022, ia meningkat sebanyak 76 peratus kepada 244,801 tan metrik

Ini menggambarkan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.47 peratus.

Bagaimanapun, di sebalik kenaikan tersebut, tahap bekalan domestik untuk kedua-dua jenis daging terbabit telah merosot.

Kesannya, kadar sara diri bagi sumber makanan tersebut telah merekodkan penurunan daripada 23.6 peratus pada 2015 kepada 14.7 peratus pada 2022.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 jut

Dengan perkembangan itu, ini bermakna 85.3 peratus daripada daging lembu dan kerbau yang dibekalkan di Malaysia terpaksa diimport.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di bawah Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mengembangkan pengeluaran lembu dan kerbau domestik, namun usaha ini masih belum berjaya sehingga kini.

Susulan daripada itu, Profesor daripada Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan Universiti Taylor, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan strategi lebih berkesan untuk membina populasi ternakan dengan cara menambah bilangan ternakan lembu.

Muslim flocking in buying meat during the fasting month in filling their groceries supply at Ipoh wet market.

Kadar sara diri bagi sumber makanan itu telah merekodkan penurunan daripada 23.6 peratus pada 2015 kepada 14.7 peratus pada 2022. — Gambar hiasan

Katanya, apabila terdapat peningkatan ketara dalam stok pembiakan, lebih banyak anak lembu boleh dihasilkan, membawa kepada pertumbuhan populasi ternakan.

"Malaysia kekurangan kawasan ragut yang luas seperti Australia tetapi mempunyai ladang kelapa sawit yang luas. Meliputi 5.85 juta hektar, kira-kira 12.6 peratus digunakan untuk penternakan lembu.

"Jika tambahan 750,000 hektar (anggaran 13 peratus peningkatan) boleh diperuntukkan untuk penternakan lembu, bilangan ternakan boleh ditambah sebanyak 187,500 ekor (berdasarkan nisbah satu ekor bagi setiap empat hektar).

"Ini berpotensi meningkatkan pengeluaran daging sebanyak 10,416 tan metrik (dengan mengandaikan bahawa 18 ekor lembu boleh menghasilkan satu tan metrik daging berdasarkan kadar kelahiran 56 peratus, dan penyembelihan tambahan sebanyak 20 peratus daripada lembu yang dipotong dan 20 peratus daripada anak lembu betina)," katanya.

Sehubungan itu, Quaza Nizamuddin mencadangkan supaya usaha terbabit turut dibantu dengan penglibatan syarikat perladangan kelapan sawit dan tersenarai awam yang memiliki lebih daripada 50 peratus jumlah kawasan ladang kelapa sawit di negara ini.

Pada waktu ini, beliau berkata, syarikat berkenaan lazimnya tidak mempunyai kepakaran untuk menceburi bidang penternakan lembu kerana menganggap perkara tersebut tidak memberikan pulangan yang tinggi.

"Tiga pendekatan boleh digunakan untuk menarik mereka melabur dalam usaha ini dengan yang pertama adalah keperluan membentuk usaha sama dengan syarikat yang berjaya untuk mengintegrasikan penternakan lembu dengan ladang kelapa sawit.

"Kedua, melantik pengusaha yang berjaya untuk mengurus atau menjalankan perniagaan bersepadu lembu-kelapa sawit.

"Ketiga, memajakkan tanah kepada koperasi penternakan lembu tempatan berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh DVS dan di bawah seliaannya," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga boleh menawarkan insentif cukai tambahan kepada syarikat yang terlibat dalam pelaburan ini.

Lebih penting menurut beliau, satu polisi perlu diwujudkan yang memerlukan setiap syarikat perladangan mengenal pasti dan memperuntukkan 20 peratus hingga 25 peratus daripada kawasan ladang mereka untuk penternakan lembu.

6091484715451268690

Pada waktu ini, beliau berkata, syarikat perladangan kelapa sawit lazimnya tidak mempunyai kepakaran untuk menceburi bidang penternakan lembu kerana menganggap perkara tersebut tidak memberikan pulangan yang tinggi. — Gambar hiasan

"Integrasi lembu-kelapa sawit boleh mengurangkan penggunaan racun herba (sebanyak 15peratus hingga 40 peratus) ketika lembu meragut sebahagian daripada rumpai.

"Penggunaan racun herba yang dikurangkan boleh meminimumkan kesan negatif alam sekitar, dan syarikat boleh menyerlahkan usaha ini dalam laporan mereka untuk Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

"Penyembelihan lembu yang produktif juga mesti dihalang. Salah satu sebab membawa kepada penyembelihan adalah untuk menambah pendapatan atau kerana kawasan ragut yang terhad," katanya.

Quaza Nizamuddin berkata, pada waktu ini, negara sudah pun mempunyai peruntukan undang-undang di bawah Akta Haiwan 1953 (Akta 647) yang melarang penyembelihan lembu produktif untuk mengurangkan kehilangan stok pembiakan.

Ujarnya, akta itu boleh digunakan bersama-sama sistem yang membenarkan pembelian semula lembu produktif yang bertujuan untuk disembelih.

"Ia boleh dijual semula atau diedarkan kepada penternak yang mampu meningkatkan populasi lembu.

"Strategi ini boleh berjaya sekiranya pihak kerajaan dan swasta mengambil pendekatan bersepadu dan turut melaksanakan Pelan Strategik Pembangunan Industri Daging Lembu Negara (Pelan BIF) 2021-2025," ujar beliau. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram