WIRA tidak didendang merujuk kepada individu atau kumpulan yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara tetapi tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya atau tidak dihebohkan.
Bila bercerita tentang mereka, ia sememangnya melibatkan pengorbanan luar biasa, kerja keras dan keberanian dalam menghadapi cabaran realiti kehidupan.
Selalunya, kisah yang sering ditonjolkan adalah petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, guru dan pekerja sosial.
BACA LAGI: 'Jangan takut gagal', remaja 16 tahun gigih tulis, sampaikan 101 ucapan berani cabar potensi diri
Kebanyakan pekerja sosial seperti doktor dan guru ditonjolkan dalam kisah inspirasi. — Gambar hiasan/Agensi
Namun, kali ini sedikit berbeza kerana terdapat seorang hero yang hanya bertugas sebagai posmen atau pekerja penghantar bungkusan dan surat.
Rathakrishnan Kalimuthu dikenali sebagai posmen yang sentiasa bersikap rendah hati, amanah dan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik selama 37 tahun.
Selain mesra dan peramah, lelaki berasal di Raub, Pahang memulakan perjalanan kariernya di negeri itu pada 1 Ogos 1966.
Selepas beberapa bulan menamatkan latihan industri, Rathakrishnan dihantar ke bandar terpencil di Sega, Pahang pada Januari 1967 untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil pos tunggal.
Untuk yang mungkin belum tahu, Sega terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Raub. Disebabakan itu dia perlu menaiki bas seawal pukul 7.30 pagi dan bersedia menghantar surat kepada penduduk sekitar.
Rathakrishnan Kalimuthu. — The Star
Rathakrishnan juga akan memasuki kawasan perkampungan di Kampung Ulu Atok kira-kira 15km dari Sega dua kali seminggu.
Dengan menaiki basikal, dia gigih mengharungi jalan raya yang berbahaya dan melalui kawasan berbukit semata untuk menghantar surat ke sekolah rendah serta klinik kesihatan di kampung itu.
Setiap perjalanannya mengambil lebih dari sejam sekali gus mencerminkan ketabahan dan dedikasinya terhadap pekerjaannya.
Dengan stamina dan daya tahan yang dimiliki, tidak mustahil dia berpotensi bersaing dalam pertandingan berbasikal.
Dia juga bertanggungjawab mengendalikan pejabat pos mini di Sega, menguruskan pos untuk komuniti kecil tersebut pada hari-hari lain.
Tidak dinafikan, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri. Sama seperti posmen komited itu yang pernah berdepan dengan situasi cemas apabila tiba waktu kehadiran kumpulan haiwan liar seperti babun berkeliaran di kawasan pejabat pos.
Gambaran bagaimana posmen menghantar surat atau barang kepada penduduk sekitar 60-an. — Facebook
Bersyukur atas bantuan penduduk kampung yang prihatin akan keselamatannya sering menasihatinya agar menjauhkan diri setiap kali bertemu dengan haiwan liar yang kadang-kala agresif.
Namun, air tenang jangan disangka tiada buaya, rutin hariannya terganggu pada 1969 dan 1970 apabila banjir teruk berlaku dan menghanyutkan jambatan yang menghubungkan Raub dan Sega.
Ia bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya dan terpaksa menggunakan rakit sementara untuk menyeberangi sungai untuk sampai ke pejabat pos Sega selama hampir setahun sehingga jambatan itu siap dibina semula.
Setelah lebih sedekad berkhidmat di kawasan luar bandar, Rathakrishnan dipindahkan semula ke Raub pada 1978 dengan tugas yang sama.
Pada 1980, perkhidmatan pos dinaik taraf daripada basikal kepada motosikal Suzuki 90cc secara tidak langsung memberikan satu kelegaan buat seluruh posmen ketika itu.
Basikal yang kebanyakannya digunakan oleh posmen sebelum dinaik taraf dengan motosikal. — Facebook
Pun begitu, dia turut menghadapi beberapa dugaan seperti ancaman daripada anjing peliharaan penduduk di sekitar kawasan itu.
Lebih membimbangkan apabila ada sesetengah pemilik membiarkan anjing peliharaan mereka tidak berantai sehingga pernah menyebabkannya diserang ketika menghantar barang.
Justeru, dia terpaksa memakai kasut kulit yang tebal untuk melindungi dirinya daripada risiko bahaya.
Rathakrishnan yang bersara pada 2003 selepas 37 tahun berkhidmat itu juga menjadi inspirasi oleh setiap majikan di Malaysia.
Sebagai posmen yang setia, sumbangannya jauh lebih besar daripada sekadar menghantar surat kerana dapat menghubungkan orang ramai dan komuniti, mengatasi setiap cabaran dengan senyuman serta memberikan sepenuhnya komitmen tanpa berputus asa.
Kisahnya juga kekal tersemat dalam hati penduduk Raub dan menjadi tokoh yang disayangi disebabkan karakternya itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram