AHLI keluarga Mila Sharmilah Samsusah atau Bella masih belum dapat menerima hakikat sebenar yang menimpa ibu tunggal itu selepas dipercayai dibunuh teman lelakinya sendiri yang baru dikenali selama tujuh bulan.
Kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, berkata, dia masih terbayang-bayang hasrat Bella yang ingin memulakan hidup baharu di Johor Bahru, Johor serta dan tinggal bersamanya.
“Dia juga pernah memberitahu niatnya untuk berpisah dengan teman lelakinya.
"Semuanya berlaku begitu pantas, kami masih tidak dapat menerima bahawa ini telah berlaku kepadanya. Kali terakhir kami berbual, Bella memberitahu saya bahawa dia mahu berpindah ke rumah saya semasa cuti sekolah pada Februari.
“Kami dah lama mengesyaki dia (teman lelaki Bella) adalah orang di sebalik kehilangannya terutamanya apabila melihat cara dia bercakap dan berbohong.
“Malah anak sulung Bella (berusia lima tahun) pernah memberitahu kami bahawa dia (teman lelaki) selalu mengasari ibunya apabila mereka keluar bersama,” katanya sebak sambil menambah dia akan menjaga anak-anak Bella mulai sekarang.
Norisham berkata demikian kepada media selepas menuntut mayat Bella di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada Rabu.
Dia yang bekerja sebagai kerani sekolah juga berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kematian adiknya itu.
Katanya, jenazah Bella akan dibawa ke Masjid Jamek Dato Bentara Luar di Batu Pahat untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya sebelum solat Asar.
BACA LAGI: [VIDEO] Analisis DNA sepadan, polis sahkan rangka tak sempurna milik Bella
Mohammad Haikal (memakai pelitup muka) yang merupakan teman lelaki Bella didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati.
BACA LAGI: 'Sepatutnya kita masih bersama', kakak mahu tuntut keadilan buat arwah Bella
Terdahulu, seorang bekas posmen didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu atas tuduhan membunuh teman wanitanya di Tongkang Pechah, Batu Pahat bulan lalu.
Mohammad Haikal Mahfuz, 25, didakwa membunuh Bella, 32, antara 11 malam pada 14 Disember dan 5.30 pagi pada 15 Disember tahun lepas antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga dan Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat.
Pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati.
Pada 14 Disember, Bella, ibu tunggal kepada dua anak dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumah menaiki kereta teman lelakinya dengan hanya memakai kaftan biru tua untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Pada Jumaat, rangka manusia yang tidak lengkap disahkan Bella ditemui di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Batu Pahat, selepas salah seorang suspek yang ditahan membawa polis ke lokasi kejadian. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram